• Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan sumbangan kerajaan Malaysia berjumlah USD10,000 kepada Imam Besar Masjid Xi An, Ding Jing Ping (dua, kanan) semasa melakukan lawatan ke masjid itu di China hari ini. - Foto Bernama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan sumbangan kerajaan Malaysia berjumlah USD10,000 kepada Imam Besar Masjid Xi An, Ding Jing Ping (dua, kanan) semasa melakukan lawatan ke masjid itu di China hari ini. - Foto Bernama
1 / 1
XI'AN - CHINA. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Rabu menzahirkan rasa kagumnya dengan Masjid Besar Xi'an yang berusia 1,200 tahun ketika mengunjunginya di ibu kota wilayah Shaanxi, yang terletak di barat Laut China.

Beliau menyifatkan masjid itu sebagai satu peringatan nyata bahawa Islam telah wujud bersama-sama agama lain di China sejak sekian lama.
  
"Islam adalah agama yang aman dan harmoni, ia terus bertahan sehingga hari ini berikutan tahap toleransi dalam kalangan masyarakat China," kata beliau kepada wartawan Malaysia di sini.
  
Sejurus tiba di masjid itu, Najib dan anggota rombongannya disambut oleh Imam Masjid Besar Xi'an,  Ding Jiping.
  
Selepas melawat masjid itu, Najib menyampaikan sumbangan Kerajan Malaysia berjumlah AS$10,000 kepada masjid itu bagi tujuan pemeliharaan warisan.

Pagi tadi, Najib merasmikan Minggu Pesta Makanan Halal Malaysia-Xi’an Ketiga di Jalan Beiyuanmen (Jalan Muslim) dan melawat gerai-gerai Malaysia.
  
Sebanyak 35 usahawan Malaysia menyertai pesta itu tahun ini.
  
Sebelum berlepas ke Beijing bagi meneruskan lawatannya ke China, Najib yang diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor dan anak lelaki mereka Nor Ashman melawat 'Museum Qin Terracotta Warriors and Horses' di sini.
  
Turut mengiringi beliau ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Duta Khas Perdana Menteri di China Tan Sri Ong Ka Ting.
  
Delegasi Malaysia turut dijadual menemui para pemimpin tertinggi China di Beijing.
  
Najib memulakan lawatan rasmi enam hari beliau ke China pada Selasa sempena ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik Malaysia dan China.  - Bernama