Perjuangan Dyana Baru Bermula!
Dyana: Mah hanya menang sekitar 200 undi
Suasana sebak menyelubungi suasana di pusat operasi kempen DAP Teluk Intan selepas keputusan yang diperolehi malam ini memihak kepada BN.
Para penyokong calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud, dilihat berpelukan dan mengalirkan air mata semasa menenangkan antara satu sama lain.
Dyana sendiri ketika berdepan dengan kira-kira 200 orang penyokong tersebut pada malam ini berkata ini bukanlah penamat bagi beliau dalam politik.
"Ini bukanlah penamat bagi Dyana Sofya, saya tidak akan kecewakan anda,” kata Dyana yang kelihatan tenang.
Peguam muda itu, yang mengenakan baju kurung warna kundang dan selendang berwarna hitam pada malam ini berkata beliau tidak hanya berusaha untuk bertanding kerusi Parlimen, tapi untuk mencapai tujuan lebih besar.
“Kita perlu menghentikan politik kaum. Saya tidak hanya menentang (Datuk) Mah (Siew Keong), namun seluruh jentera (BN).
"Mah hanya menang (kira-kira) 200 undi,” katanya yang menambah beliau akan terus berkhidmat untuk Teluk Intan walaupun tewas dalam pilihan raya kecil tersebut.
Beliau ditemani penasihat DAP Lim Kit Siang, setiausaha agung Lim Guan Eng dan juga para pemimpin DAP lain yang hadir untuk menyatakan penghargaaan kepada para penyokong.
Kerusi tersebut berjaya dirampas semula oleh bekas penyandangnya, presiden GERAKAN dengan majoriti tipis 238 undi.
Sementara itu, suasana berbeza dapat dilihat di luar pusat operasi kempen GERAKAN, apabila Mah disambut dengan sorakan gembira oleh para penyokongnya.
Beliau turut mengambil peluang menyindir “parti tertentu” yang menurutnya tidak sabar-sabar membuat pengumuman kemenangan.
Dalam ucapan ringkasnya kepada para penyokong di bangunan tersebut, Mah berkata beliau berharap agar penyokongnya bersabar jika pengiraan semula dilakukan.
"Sebab keputusan tidak rasmi sudah keluar tapi pihak lawan sudah cabar keputusan itu," katanya.
"Jika SPR akan membuat kiraan semula dalam beberapa jam lagi dan kita sabar, tak macam satu parti, dia tak sabar dia tulis di Internet semua dia menang.
"Kita hormati undang-undang, kita sabar sikit," kata Mah lagi yang disambut tepukan oleh para penyokongnya. -mk
Kalah Tapi Permulaan Yang Baik Bagi Dyana
Sebagaimana yang sudah diketahui umum, BN berjaya merampas kembali kerusi Teluk Intan yang kali terakhir pernah dimenanginya pada 2004 dahulu. Dalam keputusan yang diumumkan tadi, calon BN, Mah Siew Keong berjaya menewaskan calon DAP, Dyana Sofya dengan majoriti 238 undi.
Dengan peratusan keluar mengundi begitu menurun iaitu hanya sebanyak 66.5 peratus, Mah memperolehi undi sebanyak 20,157 manakala Dyana Sofya meraih sebanyak 19,919 undi. Undi rosak pula sebanyak 550.
Walaupun tewas dan percubaan DAP meneroka aliran politik yang merentasi batas perkauman ditolak oleh pengundi Teluk Intan, tetapi haruslah juga diakui bahawa ini merupakan permulaan yang baik bagi Dyana untuk mengembangkan lagi potensinya sebagai ahli politik masa depan.
Kalah kali pertama tidak bererti akan kalah selamanya.
Beliau secara umumnya diterima sebagai ikon orang muda dan percubaan kali pertama dalam usia 27 tahun ini tentunya memberi banyak pengajaran dan pengalaman kepadanya. Namun sebagai orang luar Teluk Intan yang kali pertama bertanding dan lawannya pula merupakan presiden parti keempat terbesar dalam BN, kejayaan memberi cabaran sengit kepada BN masih boleh dikira membanggakan.
Selain berhadapan dengan Mah selaku Presiden Gerakan, Dyana turut berhadapan dengan kerajaan pusat dan juga kerajaan negeri Perak di mana pemimpinnya silih berganti turun berkempen dan menawarkan habuan kepada pengundi. Dengan peratusan pengundi Cina 42 peratus, Melayu 38 peratus dan India 19 peratus, latar belakang dan komposisi pengundi sebegini memang diakui memberi cabaran yang hebat kepada mana-mana calon pembangkang.
Sekurang-kurangnya dua sebab utama menjadi punca kekalahan Dyana dan DAP dalam pilihanraya ini. Pertama, kekurangan sokongan pengundi Melayu yang mana kehadiran beliau sebagai calon telah berjaya dimanipulasi dan disensasikan oleh jentera BN melalui pelbagai isu berkaitan diri dan apa yang pernah diperkatakannya seperti mengenai hudud dan UiTM.
Walaupun Dyana merupakan seorang Melayu tetapi jentera BN gigih memainkan isu bahawa di belakangnya adalah Cina dan berbeza dengan Mah yang walaupun Cina tetapi di belakangnya adalah Melayu.
Dan sejak awal lagi BN memang memberi tumpuan yang lebih kepada pengundi Melayu kerana mereka merasakan tiada harapan untuk bergantung kepada pengundi Cina yang majoritinya memang menyokong DAP. Lagi pula pengundi Melayu yang banyak berlatarbelakangkan kampung agak mudah dipengaruhi.
Sebab kedua kekalahan Dyana ialah wujudnya kecenderungan sebahagian pengundi Cina yang tidak mengundinya kerana masalah dalaman DAP. Mereka ini lebih mahukan calon tempatan diketengahkan dan bila kemunculan Dyana yang turut dibimbangi akan menenggelamkan terus calon tempatan dalam pilihanraya akan datang, maka penolakan golongan ini jadi membesar.
Selain tidak mengundi DAP, pengundi Melayu dan Cina yang enggan menyokong Dyana ini juga sebahagiannya mengambil keputusan tidak turun mengundi atau merosakkan kertas undi. Hal ini sudah kedengaran di hari-hari terakhir sebelum pembuangan undi lagi.
Sebab itu, tidak memeranjatkan jika peratusan yang keluar mengundi hanya 66.5 peratus saja manakala undi rosak pula sebanyak 550 dan lebih tinggi daripada majoriti kemenangan sebanyak 238 undi.
Melalui kemenangan ini, sebagaimana yang dijanjikan oleh Perdana Menteri sendiri, Mah akan dilantik menjadi menteri atas kapasitinya sebagai Presiden Gerakan. Melalui beberapa janji yang terkandung dalam manifestonya pula, pembinaan sebuah universiti tentulah antara yang paling ditunggu-tunggu oleh penduduk Teluk Intan.
Melalui beberapa janji menteri yang lain lain pula seperti wifi yang lebih laju, pembangunan yang lebih banyak, pembinaan lebuhraya Banting-Taiping yang dijanji dipercepatkan, uniform untuk anggota RELA dan sebagainya, semuanya itu sedang dinanti oleh penduduk Teluk Intan walaupun Mah berkata, semua itu bukan janjinya dan beliau tidak terikat dengannya.
Namun jika semua janji itu tidak ternampak bayangnya atau sebatang tiang pun gagal dinaikkan menjelang pilihanraya 2018 nanti, tidak mustahil kerusi Teluk Intan ini kembali semula ke pangkuan DAP.
Meskipun ada kemungkinan sesetengah pemimpin UMNO bersikap agak sombong dan poyo dengan kejayaan merampas kerusi Teluk Intan ini daripada DAP, tetapi secara keseluruhannya pola pengundian masih menjanjikan persaingan yang sengit dalam pilihanraya umum akan datang. Najib, UMNO dan BN belum boleh bersenang-lenang lagi. -shahbudindotcom
Teluk Intan: Dyana Sofya menang dari segi moral
KUALA LUMPUR: Walaupun Dyana Sofya Mohd Daud kalah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan, namun calon DAP yang mewakili Pakatan Rakyat itu tetap menang dari segi moral.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar ketika dihubungi Harakahdaily berkata, kekalahan dengan majoriti yang kecil itu membuktikan kekalahan moral kepada calon Barisan Nasional (BN).
BN memenangi PRK Parlimen Teluk Intan dengan majoriti 238 undi, apabila calonnya, Datuk Mah Siew Keong mendapat 20,157 undi manakala Dyana mendapat 19,919 undi.
"Tahniah kepada Dyana kerana saingan yang beliau berikan kepada BN.
"Walaupun kalah tetapi beliau tetap menang dari segi moral dan kemenangan tipis BN ini cukup memalukan apatah lagi yang bertanding merupakan Presiden Gerakan," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.
Katanya lagi, sejak awal lagi Dyana diserang dari pelbagai sudut termasuk daripada agensi kerajaan sendiri, namum beliau mampu menghadapinya.
"Dyana bukan sahaja menghadapi serangan dari jentera BN tetapi dari agensi kerajaan.
"Ketabahan yang beliau tunjukkan ini merupakan satu permulaan baik untuknya bagi meneruskan perjalanan politik pada masa akan datang," katanya lagi.
Ketika ditanya mengenai peratusan keluar mengundi yang merosot iaitu hanya 66.5 peratus sahaja, beliau berkata jangan selesa dengan keputusan PRU13 lalu
"Ini suatu peringatan kepada pengundi walaupun di mana sahaja, kita jangan berasa selesa bila melihat majoriti yang tinggi diperolehi pada pilihan raya umum yang lepas.
"Setiap pengundi perlu keluar dan balik bila adanya PRK, kemenangan dahulu tidak boleh menjamin kemenangan akan datang, saya harap ini dapat memberi pengajaran," sambung beliau. -HD
ULASAN GB
Dyana kalah...? Biasa.. itu adat perjuangan, ada menang ada kalah, apatahlagi pertama kali masuk gelanggang. Bagi GB, perjuangan Dyana BARU SAJA BERMULA.
Jangan lupa Ijok ada menyimpan sejarahnya tersendiri di dalam pilihanraya kecil ... bacalah...
KISAH LAMA DI IJOK
Pilihanraya Kecil Dun Ijok berlangsung tanggal 28 April 2007 berikutan kematian penyandang di kawasan tersebut, Mendiang Datuk Sivalingam A/L Arumugam Karuppiah.Ketika itu, Selangor adalah merupakan antara kubu terkuat Umno dan Barisan Nasional di Malaysia.Bayangkanlah, ketika itu, Dun Sifar Pembangkang telah hampir menjadi kenyataan kecualilah apabila Adun Sungai Pinang (DAP), Teng Chan Kim berjaya menjadi wakil tunggal dalam Dewan Undangan Negeri Selangor.
Untuk rekod, dalam Pilihanraya Umum ke 11 pada Tahun 2004, Mendiang Siva telah berjaya memenangi kerusi tersebut setelah menewaskan calon PKR, Abdol Raman Moharam dengan majoriti selesa sekitar 1649 undi.Sebelum itu, dalam Tahun 1999, calon DAP di sana juga tewas dengan majoriti yang lebih besar iaitu sekitar 3166 undi.Malah, Ijok boleh dikatakan antara kubu MIC di negeri Selangor khususnya dan Malaysia amnya.
Dalam Pilihanraya Kecil Ijok, satu nama baru dalam politik telah dinaikkan oleh PKR iaitu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.Dalam Pilihanraya tersebut, provokasi lawan tidak kurang hebatnya.Rakaman video Anwar menari diulang tayang berpuluh kali oleh RTM, kononnya Anwar sudahpun hilang budaya Islam dalam dirinya. Ketika itu, Anwar mula mendaki naik semula dalam arena politik negara setelah dibebaskan daripada tahanan penjara.Provokasi BN berterusan apabila rakaman video calon PKR, Tan Sri Khalid Ibrahim yang tersasul mengajak pengundi untuk mengundi Barisan Nasional juga diulang tayang, kononnya Khalid adalah calon tangkap muat yang telah diambil oleh PKR untuk bertanding dalam Pilihanraya kecil tersebut.
Seterusnya, Pilihanraya kecil tersebut juga memberi tamparan hebat buat PKR, apabila S.Nallakaruppan yang juga sahabat karib Anwar keluar parti setelah kecewa tidak dicalonkan dalam Pilihanraya Kecil tersebut memandangkan dia memang melobi untuk jawatan itu.Akhirnya, Nalla bertindak keluar parti dan menghentam Anwar dan PKR melalui pentas Barisan Nasional.Sedangkan, kredibiliti Tan Sri Khalid sebagai seorang ahli korporat yang berpengalaman dalam Kumpulan Guthrie langsung tidak dipandang oleh pengundi di Ijok pada masa itu.
Setelah keputusan Pilihanraya Kecil Dun Ijok diumumkan, kemenangan akhirnya berpihak kepada calon MIC, Cikgu K.Phartiban yang mendapat 5884 undi manakala Khalid pula hanya mendapat 4034 undi.Majoriti kemenangan Phartiban adalah sekitar 1850 undi.
Umno dan Barisan Nasional sesungguhnya cukup bongkak dan sombong dengan kemenangan tersebut. Maka, ramailah pemimpin ampu dan bodek mereka mengeluarkan fatwa mengatakan perjuangan PKR telah tamat. PKR telah ditolak pengundi dan sudah tidak lagi relevan.
Pun begitu, kata-kata sombong mereka setelah menang dalam Pilihanraya Kecil di Ijok ketika itu akhirnya memakan diri mereka sendiri setelah orang yang mereka hina berjaya mencipta gelombang kebangkitan sebelas bulan berikutnya.Malah, calon tangkap muat PKR di Ijok juga bukan sahaja telah berjaya memenangi kerusi Dun Ijok tetapi juga dilantik menjadi Menteri Besar bagi Negeri Selangor Darul Ehsan.
Slogan Sifar Pembangkang mereka juga telah menjadi sumpahan buat diri mereka sendiri apabila bukan sahaja pembangkang tidak menjadi sifar, sebaliknya mereka pula yang terpaksa menerima hakikat menjadi pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri Selangor.
Jangan Biarkan Pasangan Anda Menderita,
Atasi Masalah Prostat & Kelemahan Zakar Dengan MEN CAPSULE.
KLIK SINI
LIKE kami di SINI
0 orang berkata:
Post a Comment