• Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor memberi penghormatan terakhir kepada Jenazah Almarhum Sultan Perak Sultan Azlan Shah di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, hari ini. Turut berangkat Pemangku Raja Perak Raja Dr. Nazrin Shah dan Puan Besar Perak Tuanku Zara Salim. - Foto Bernama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor memberi penghormatan terakhir kepada Jenazah Almarhum Sultan Perak Sultan Azlan Shah di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, hari ini. Turut berangkat Pemangku Raja Perak Raja Dr. Nazrin Shah dan Puan Besar Perak Tuanku Zara Salim. - Foto Bernama
1 / 1
KUALA KANGSAR - Suasana sedih jelas terasa tatkala rakyat jelata tiba di pekarangan Istana Iskandariah di sini pagi ini untuk menziarahi jenazah Almarhum Sultan Perak Sultan Azlan Shah yang mangkat petang semalam.
  
Anggota masyarakat pelbagai lapisan dilihat tiba di pekarangan Istana Iskandariah seawal 8.30 pagi dan dibenarkan masuk ke balairung seri, tempat jenazah Almarhum disemayamkan, setengah jam kemudian untuk memberi penghormatan terakhir.
  
Istiadat penghormatan orang awam ini berlangsung dari pukul 9 hingga 11.30 pagi dan akan disusuli orang kenamaan, menteri, timbalan menteri, menteri besar, ketua menteri dan perwakilan asing bermula 11.45 pagi hingga 1.15 tengah hari.
  
Sesi penghormatan terakhir untuk raja-raja Melayu, yang dipertua negeri, ketua negara dan ketua kerajaan pula akan bermula 1.30 tengah hari hingga 2.15 petang.
  
Terdahulu, lapan pegawai daripada pasukan Polis Diraja Malaysia dan ketiga-tiga cabang Angkatan Tentera Malaysia mengusung keranda jenazah Almarhum yang dilitupi kain songket berwarna kuning diraja, memasuki balairung seri sebelum diletakkan di atas peterana tiga anak tangga, juga berwarna kuning diraja, berhadapan singgahsana.

Ini disusuli perarakan masuk darjah-darjah kebesaran baginda oleh 11 pegawai daripada pasukan keselamatan. Darjah-darjah kebesaran terbabit diletak di atas bantal berwarna kuning diraja yang kemudian disusun mengelilingi keranda.
  
Menyusuli mereka 36 jejawat yang membawa payung kebesaran diraja.
  
Alunan ayat-ayat suci al-Quran diperdengarkan oleh beberapa kumpulan termasuk pelajar tahfiz, anggota kariah beberapa buah masjid dan Jabatan Agama Islam Perak pada sepanjang masa di balairung seri itu.
  
Terdahulu, Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun, Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah, Raja Puan Besar Tuanku Zara dan kerabat diraja berangkat tiba di balairung seri itu.
  
Turut berada di dewan itu ialah Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta pembesar-pembesar negeri.
  
Rakyat jelata pelbagai kaum yang rata-rata berpakaian serba hitam sebagai tanda berkabung, kemudian menuju ke peterana tempat disemayamkan jenazah Almarhum, dan membacakan doa mengikut kepercayaan agama masing-masing sebelum berjalan keluar meninggalkan balairung seri. - Bernama