• Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Shamrahayu
1 / 1
BANGI - Terdapat beberapa kekangan terhadap pelaksanaan hudud di Malaysia, ujar pakar perlembagaan, Profesor Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz.

Beliau yang juga Pensyarah Undang-Undang Univerisiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, antara kekangan itu termasuklah perkara yang melibatkan keluhuran perlembagaan negara, sifat sekular, demokrasi dan kuasa yang melibatkan kuasa negeri serta persekutuan.

Ketika menyentuh mengenai sifat sekular negara, Shamrahayu menegaskan bahawa tiada sifat sekular pada perlembagaan negara.

"Kalau kita lihat tiada peruntukan di dalam perlembagaan yang menyebut tentang sekular dan penolakan al-Quran dan as-Sunnah.

"Malahan menurut Perkara (3) Perlembagaan ada menyebut tentang Islam adalah agama rasmi negara dan agama lain boleh laksanakan ajaran mereka.

"Ini jelas menafikan bahawa Malaysia adalah negara sekular.

"Malah boleh dikatakan bahawa tiada halangan yang boleh menidakkan pelaksanaan hudud disebabkan oleh kekangan sekular," katanya pada Muzakarah Jenayah Syariah Kebangsaan bertajuk: Hudud di Malaysia, Peluang, Cabaran dan Halangan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, hari ini.

Sementara itu, menyentuh mengenai sistem demokrasi yang diamalkan oleh negara, Shamrahayu menjelaskan, sistem demokrasi yang diamalkan kini bukan sekular dan tidak seratus peratus bercanggah dengan Islam.

"Bagi saya ada persamaan antara sistem demokrasi dan sistem pentadbiran Islam.

"Antara persamaannya adalah sistem musyawarah yang diamalkan," katanya lagi.

Oleh itu, jelas Shamrahayu kekangan tersebut tidak menjadi halangan kepada pelaksanaan hudud di negara kita, cuma sekarang kita hanya menunggu kuasa antara negeri dan persekutuan untuk memastikan hudud boleh dilaksanakan.