Kemenangan satu titik perubahan di Teluk Intan
31/05/2014 11:29pm
TELUK INTAN - Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mah Siew Keong
berkata kemenangan beliau pada pilihan raya kecil (PRK) kerusi Parlimen
Teluk Intan akan membawa satu titik perubahan bukan sahaja di kawasan
itu malah kepada parti Gerakan.
Presiden Gerakan itu menyifatkan pertandingan kali ini amat sengit
namun parti komponen BN membuktikan kemampuan untuk menang jika bersatu.
"Bagi saya, ini juga satu titik perubahan kepada Gerakan. Saya bangga
dengan kerjasama antara parti komponen BN yang membawa kejayaan”
katanya ketika ditemui pemberita selepas diumum sebagai pemenang dalam
PRK itu oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Datuk Ibrahim Ahmad di pusat
penjumlahan undi di Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib di
sini malam ini.
Siew Keong mengalahkan calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud dengan
majoriti 238 undi selepas memperoleh 20,157 undi berbanding Dyana Sofya
yang mendapat 19,919 undi.
Beliau juga amat berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Menteri
Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, yang banyak memberi
nasihat dan bimbingan dalam perjuangan kali ini. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment