•  Istana Iskandariah, Kuala Kangsar Istana Iskandariah, Kuala Kangsar
1 / 1
IPOH - Istiadat pelantikan dan pengisytiharan Sultan Perak yang baharu akan diadakan di Balairong Seri Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada petang ini.

Setiausaha Dewan Negara Perak Datuk Ayob Hashim berkata, istiadat tersebut akan dijalankan sebelum istiadat pengebumian jenazah Almarhum Sultan Azlan Shah, yang mangkat semalam.

Beliau berkata satu mesyuarat khas Dewan Negara Perak diadakan lewat petang semalam bagi menentukan pengganti Sultan Azlan Shah untuk menerajui takhta pemerintahan negeri Perak.

Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jen (B) Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin akan mempengerusikan mesyuarat tersebut yang berlangsung di Istana Iskandariah,  katanya.

Mesyuarat khas itu diadakan berdasarkan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak Bahagian Yang Kedua yang terkandung dalam Fasal LXIII yang antara lain menetapkan Dewan Negara hendaklah bermesyuarat di Kuala Kangsar dalam tempoh dua puluh empat jam daripada kemangkatan seorang Raja Pemerintah.

Ayob berkata istiadat pelantikan dan pengisytiharan Sultan Perak yang baharu  akan berlangsung selepas orang ramai dan kenamaan menziarahi serta beri penghormatan terakhir buat Almarhum Sultan Azlan Shah. - Bernama