• PRK Teluk Intan PRK Teluk Intan
1 / 1
TELUK INTAN - Suasana kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan hari ini begitu sepi berikutan parti-parti politik yang bertanding menangguhkan aktiviti bagi menghormati kemangkatan dan pengebumian Sultan Perak Almarhum Sultan Azlan Shah.
  
Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mah Siew Keong dan calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud turut ke Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pagi tadi untuk memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Almarhum Sultan Azlan Shah.
  
Jalan raya di sekitar bandar Teluk Intan juga agak lengang dengan banyak premis perniagaan ditutup berikutan cuti umum yang diisytihar di seluruh negeri Perak hari ini.
  
Semalam, Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kempen pilihan raya kecil BN ditangguhkan serta-merta sehingga selesai istiadat pemakaman Almarhum Sultan Azlan Shah petang ini.
  
Dyana Sofya turut membatalkan beberapa program yang dijadualkan hari ini.
  
Bagaimanapun, kedua-dua parti terlibat menggunakan tempoh bertenang ini dengan mengadakan sidang media mengenai perkembangan kempen.
  
PRK Parlimen Teluk Intan akan berlangsung Sabtu ini dengan seramai 60,349 pengundi layak mengundi.
  
Selasa lepas sebanyak 95.61 peratus atau 392 daripada 410 pengundi awal telah mengundi di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak.  - Bernama