Pendirian Dyana tidak jejas Pas
- Mahfuz (tengah) bersama pimpinan Pas menunjukkan tanda sokongan terhadap calon DAP, Dyana Sofya.
Ketua Penerangan Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, perbezaan pendirian yang dibawa Dyana Sofya sebagai orang Melayu mewakili DAP, dianggap masih berada dalam ruang demokrasi.
“Dalam BN, calonnya itu juga dari parti yang menentang hudud, Gerakan menolak hudud jadi jelas sebenarnya mereka yang mendahului, Dyana masih dalam ruang demokrasi dan Pas tiada masalah,” katanya pada majlis bersama media, kelmarin.
Ditanya mengenai usaha Pas untuk mengubah persepsi penduduk kampung Melayu berhubung pendirian hudud itu, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, ia bukan satu kebimbangan besar kerana generasi baru sudah membuktikan penerimaan mereka terhadap situasi politik merentasi kaum.
“Sejarah dulu dah buktikan bahawa orang Cina boleh terima orang Melayu, jadi permasalahan untuk orang Melayu terima calon Melayu...saya tak fikir boleh berlaku.
“Cuma mereka tersekat dengan persepsi yang dicanangkan terhadap DAP, itu sahaja,” katanya.
Beliau berkata, dalam kempen pilihan raya kecil ini, Pas berusaha mempertahankan undi Melayu yang diperoleh pada PRU13 lalu bagi memastikan kemenangan DAP.
Menurutnya, ia sudah cukup bagi menjamin kemenangan wakil PR di Teluk Intan.
“Walaupun jangkaan saya yang keluar mengundi mungkin merosot, jadi jumlah perolehan undi juga mungkin akan alami kemerosotan, tapi yang penting, Dyana menang,” katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment