1 / 1
KUALA LUMPUR - Senarai barang yang dikenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dijangka dikeluarkan awal tahun depan, kata Pengarah bahagian GST Jabatan Kastam Diraja Malaysia Subromaniam Tholasy.
  
Beliau berkata, pihaknya yang akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang bercadang mengeluarkan senarai barang tersebut tiga bulan selepas GST dilaksanakan.
  
"Senarai yang dipanggil 'Shoppers Guide' dijangka dikeluarkan tiga bulan sebelum dan selepas pelaksanaannya bagi memudahkan pengguna mengetahui serta mengenal pasti perbezaan harga barang.
  
"Jika ia dikeluarkan terlalu awal dikhuatiri berlaku perubahan harga asas barang, sebagai contoh kos pengeluaran, mungkin ia berubah dalam lima atau enam bulan akan datang," katanya.
  
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah GST dalam siri forum awam Universiti Malaya anjuran Institut Antarabangsa Polisi Awam dan Pengurusan (Inpuma) di sini, hari ini.
  
Jelas Subromaniam senarai barang yang akan dikeluarkan meliputi barangan yang popular dalam kalangan pengguna.

Beliau turut menyarankan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di negara ini menganjurkan program berbentuk forum atau seminar memperkenal latar belakang dan kaedah pelaksanaan GST agar maklumat tepat mengenai sistem percukaian itu dapat disampaikan kepada golongan pelajar dan pensyarah IPT.
  
"Forum seperti ini perlu bagi memastikan pelajar universiti dan pensyarah tidak terpengaruh dengan maklumat mengenai GST yang disampaikan pihak tidak bertanggungjawab, selain golongan ini mempunyai kredibiliti mempengaruhi minda masyarakat untuk menerima kebaikan pelaksanaan sistem percukaian itu," katanya.
  
GST, diumumkan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pembentangan Bajet 2014 di Parlimen Oktober tahun lepas, memaklumkan ia akan dilaksanakan mulai 1 April 2015, menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan.
  
Sistem cukai baharu ini menetapkan enam peratus kadar cukai berbanding cukai jualan dan perkhidmatan berjumlah 16 peratus. - Bernama