• Mohammed Mursi Mohammed Mursi
1 / 1
PETALING JAYA - Menteri Penerangan Kabinet Presiden Muhammed Mursi, Dr Salah Abdul Maqsoud mendakwa Pilihan Raya Pemilihan Presiden yang bakal berlangsung pada 26 dan 27 Mei ini tidak sah dan tidak diiktiraf oleh barisan Kabinet berkenaan.

Bercakap dalam sidang media yang berlangsung di sini hari ini, beliau berkata, sebarang proses perlembagaan termasuk pilihan raya yang dilakukan oleh pihak tentera dianggap tidak sah kerana mereka tidak mempunyai hak untuk membatalkan kuasa sesebuah kerajaan melalui rampasan kuasa.

"Bekas Ketua Tentera Mesir, Abdel Fattah Al-sisi mendakwa apa yang sedang dilakukan kini bukan demi kepentingan rakyat, namun sebenarnya tujuan asal perjuangannya adalah demi kepentingannya sendiri.

"Pihak kami tidak bersetuju dengan pilihan raya, namun kami tidak membantah dengan menggunakan kekerasan, kami akan terus tekan mereka melalui demonstrasi secara aman yang dilakukan secara berterusan," katanya.

Beliau dalam pada itu turut menggesa seluruh rakyat Mesir untuk terus memperjuangkan hak asasi mereka demi menuntut kebebasan negara.

Menurutnya, sokongan dan harapan yang tidak putus harus diberikan supaya pejuang-pejuang negara akan terus melawan demi membina semula negara Mesir yang merdeka.

"Pemimpin negara yang 'naik' melalui peti undi, akan 'jatuh' melaui peti undi juga, jika perkara sedemikian tidak berlaku, akan berlaku kekecohan dan kekacauan besar dalam negara.

"Pejuang hak asasi harus tunjukkan kepada semua pihak bahawa kita semua menuntut sebuah keamanan dan negara yang demonstrasi tanpa kekacauan dan sikap pecah belah seperti yang sedang berlaku di Mesir sekarang," katanya lagi.

Menurutnya lagi, perjuangan yang dilakukan ini adalah berdasarkan gabungan nasional yang melibatkan 60 organisasi yang menghimpunkan semua jenis bangsa dan pihaknya akan terus mendesak Al-sisi untuk memberikan kebebasan mutlak ke atas negara tersebut.