• Anifah Aman Anifah Aman
1 / 1
SHAH ALAM - Kementerian Luar akan menyiasat kenyataan Presiden Indonesia, Joko Widodo yang dikatakan memberi arahan supaya kapal-kapal nelayan asing yang memasuki perairan Indonesia secara haram dikaramkan manakala anak kapal diselamatkan sebagai amaran keras kepada nelayan-nelayan tersebut.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, pihaknya sukar untuk mempercayai kenyataan tersebut kerana Malaysia dan Indonesia telah menandatangani perjanjian garis panduan penguatkuasaan undang-undang maritim antara kedua-dua negara pada 27 Januari 2012.

"Menerusi MoU tersebut, kedua-dua negara telah mencapai kata sepakat untuk hanya mengusir dan tidak menangkap nelayan-nelayan yang didapati menangkap ikan di persempadanan maritim Malaysia-Indonesia," katanya, semalam.

Beliau berkata sehingga kini, Kementerian Luar melalui Perwakilan Malaysia di Indonesia masih belum menerima sebarang notis konsulat secara rasmi daripada pihak Indonesia berhubung penangkapan tersebut.

"Kedutaan Besar Malaysia telah menghubungi Kementerian Luar Indonesia untuk mendapatkan pengesahan terutamanya mengenai maklumat pengenalan diri dan lokasi penahanan nelayan Malaysia tersebut. Sekiranya mereka disahkan rakyat Malaysia, bantuan konsulat sewajarnya akan dihulurkan," katanya.

Beliau berkata, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) juga tidak menerima sebarang notis penangkapan nelayan Malaysia daripada pihak berkuasa Indonesia.

"Kementerian Luar dan APMM sedang memantau perkembangan mengenai isu penahanan nelayan Malaysia ini," katanya.

Kelmarin, beberapa media tempatan melaporkan pihak berkuasa Indonesia menahan seramai 200 nelayan Malaysia yang didakwa telah menangkap ikan secara haram di perairan Indonesia.

Menurut laporan tersebut, Setiausaha Kabinet, Andi Widjajanto, menyatakan bahawa penangkapan ini adalah sebahagian daripada operasi mencegah penangkapan ikan secara haram oleh pihak berkuasa Indonesia yang bermula semenjak 17 November 2014.

Duta Besar Indonesia di Malaysia dalam kenyataannya berkata, sehingga kini belum dapat dipastikan jumlah sebenar warganegara Malaysia memandangkan proses siasatan masih berjalan.