•   Abdul Aziz (kanan) ketika bercakap pada sidang media mengenai Akta Hasutan 1948, semalam.
1 / 1
KUALA LUMPUR - Akta Hasutan 1948 tidak perlu dihapuskan sebaliknya boleh diperkukuhkan bagi menjamin keharmonian kaum dan keselamatan negara ini.

Pengerusi Biro Perlembagaan dan Perundingan, Majlis Perundingan Melayu (MPM), Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, ia bagi memastikan peristiwa yang mencetuskan ketegangan kaum seperti rusuhan pada 13 Mei 1969 tidak berulang.

“Kalau kita benarkan orang ramai berdebat perkara sensitif secara terbuka, ada kemungkinan berlaku lagi (peristiwa 13 Mei 1969). Umpamanya kalau kaum lain sentuh tentang kedudukan istimewa orang Melayu.

“Apabila kita kaji peristiwa 13 Mei 1969, orang yang berkenaan menggunakan suasana ketika itu untuk mengapi-apikan supaya ada pergaduhan antara kaum.

Jadi kalau ada sedikit perkara yang sensitif dan diperbesarkan, akan timbul bila-bila masa sekarang ini,” katanya di sini, semalam.

Beliau sebelum ini pernah menjadi Penasihat Undang-undang Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang ditubuhkan ketika negara diisytihar darurat semasa peristiwa 13 Mei 1969.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebarang tindakan bagi memansuhkan Akta Hasutan juga perlu mendapat perkenan Majlis Raja-Raja.

Hal ini kerana, katanya, pemansuhan Akta Hasutan sekali gus akan memansuhkan Seksyen 3 (1) (f) akta itu yang melindungi empat perkara sensitif iaitu hak istimewa orang Melayu, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, hak kerakyatan dan kedaulatan raja-raja Melayu.

“Di bawah pindaan ini, perbuatan mempersoalkan empat perkara sensitif tersebut merupakan satu kesalahan dan boleh dihukum di bawah Akta Hasutan.

Namun, kini ada individu yang mahu memansuhkan Akta Hasutan yang mengandungi  Seksyen 3 (1) (f).

“Tindakan ini bagaimanapun mesti mematuhi Perkara 159 (5) iaitu Parlimen mesti mendapat perkenan Majlis Raja-Raja dahulu sebelum meluluskan undang-undang untuk memansuhkan Akta Hasutan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan boleh memperkukuhkan lagi Akta Hasutan dengan memasukkan beberapa perkara lain yang boleh dianggap sensitif.

“Misalnya, usaha sesetengah pihak yang membawa idea Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia. Ini satu perkara sensitif kerana boleh memecahbelahkan negara.

“Begitu dengan isu agama yang sekarang ini tiada dalam Akta Hasutan. Kalau kita anggap agama sebagai isu sensitif kita boleh masukkan dalam Akta Hasutan,” katanya.