• Muhamad menunjukkan kayu reput yang digunakan kontraktor. Gambar belakang: Bilik yang gagal disiap kontraktor. Muhamad menunjukkan kayu reput yang digunakan kontraktor. Gambar belakang: Bilik yang gagal disiap kontraktor.
1 / 1
KUALA TERENGGANU – Guna bahan binaan tidak berkualiti, kerja baik pulih rumah tidak ikut spesifikasi dan kemudian melarikan diri! Begitulah sikap segelintir kontraktor  yang dikesan mahu mengaut kekayaan segera dengan mengkhianati tanggungjawab yang telah diamanahkan kerajaan di bawah Projek Khas Perumahan Nelayan PKPN 2012.

Hasil siasatan mendapati ada dalam kalangan kontraktor  terbabit sanggup mengabaikan keselamatan penghuni rumah dengan menggunakan bahan binaan yang rendah kualiti semata-mata mahu mengurangkan kos.

Sumber mendedahkan kontraktor  yang kini  bergelar jutawan itu turut 'mengalibabakan' projek yang dianugerahkan kepada pihak kedua bagi mendapatkan keuntungan atas angin.

Kesudahannya kerja baik pulih berkenaan dilakukan dengan sambil lewa kerana bayaran yang diterima amat rendah meskipun peruntukan sebenar yang diluluskan oleh kerajaan adalah RM10,000 untuk sebuah rumah.

Anggaran awal menunjukkan bahawa seramai hampir 15,000 nelayan akan mendapat faedah daripada projek itu yang dijalankan bermula 2012  hingga tahun ini.

Jumlah ini adalah berdasarkan daripada Kajian Sendi (Sosio Ekonomi dan Isi Rumah Nelayan) pada 2007 dan data senarai nelayan yang berdaftar dengan ESH (Elaun Sara Hidup) awah seliaan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Jumlah nelayan yang layak mendapat bantuan PKPN ditentukan oleh Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen (MPPP) melalui seliaan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK).

PNK seluruh negara telah diarah untuk turun padang bagi mengedar Borang Permohonan Perumahan Nelayan iaitu Borang PPN 02 bermula awal 2012.

Mesyuarat DTF (Delivery Taskforce) di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), bagi menangani Kos Sara Hidup nelayan, kerajaan telah menyasarkan 5,000 unit rumah nelayan perlu dibaik pulih pada 2012.

Melalui dana berkenaan juga, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah menetapkan tiga kategori bagi PKPN melibatkan  pembaikan rumah, pembinaan rumah baru dan penempatan semula nelayan  (PSN).

Namun disebabkan ketirisan yang berlaku,  nelayan  yang benar-benar layak untuk menerima bantuan dinafikan hak, malah menurut sumber, ada juga permohonan tidak diluluskan tanpa alasan kukuh.

Susulan maklumat yang diterima, Sinar Harian melakukan tinjauan di beberapa buah  perkampungan nelayan di Terengganu bagi mengenal pasti masalah yang berlaku membabitkan bantuan berkenaan, baru-baru ini.

Mohon baik pulih tapi jadi benda lain

Bagi nelayan yang hidup hanya bersandarkan kepada tangkapan ikan, peruntukan PKPN yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pembentangan Bajet 2012 ibarat durian runtuh.

Mana tidaknya, mereka amat bersyukur kerana bantuan ini setidak-tidaknya boleh memberi keselesaan kepada mereka sekeluarga.

Namun apa yang mengecewakan, kontraktor  yang dipertanggungjawabkan sanggup menipu apabila menggunakan kayu reput untuk bina rumah.

Bagi Muhamad Salleh, 66, sebaik mendapat tahu tentang bantuan berkenaan, dia segera membuat permohonan kepada pertubuhan nelayan di kawasan tempat tinggalnya.

Dalam permohonan itu, dia menyatakan hasrat mahu menambah sebuah lagi bilik rumahnya untuk kegunaan keluarga memandangkan bilik sedia ada tidak mencukupi.

“Lepas permohonan lulus, kontraktor ada datang dan janji untuk siapkan macam dalam permohonan tapi kesudahannya hanya lantai dan bumbung yang dibuat, yang lain tak boleh buat sebab tak cukup bajet,” katanya.

Menurut Muhamad, kesudahannya dia terpaksa menanggalkan semula papan yang telah dipasang kerana ianya terjungkit apabila dipijak disebabkan kayu yang digunakan tidak berkualiti.

“Tiga hari buat kerja. Lepas itu senyap, kontraktor pun tidak nampak. Sekarang pak cik terpaksa tambah duit sendiri untuk siapkan bilik ini. Kalau ikutkan tambahan yang dibuat ini kosnya tidak sampai RM1,000," katanya.

Menurutnya, aduan kepada pihak terlibat telah dibuat, namun tiada sebarang tindakan susulan untuk penyelesaian.

Sementara itu, seorang lagi nelayan, Razali Mat Zin, 58, turut menjadi mangsa kontraktor.

Dengan pendapatan tidak menentu purata RM500 sebulan mendorongnya membuat permohonan  untuk membaik pulih bahagian dapur rumahnya yang uzur.

“Bumbung  rumah bocor, bila hujan susah... kerana  air masuk. Jadi buatlah permohonan nak ganti dinding papan dan atap asbestos. Kontraktor janji untuk buat, tetapi mereka hanya guna zink sebagai dinding dan bumbung,” katanya.

Menurutnya, dia juga tidak berpuas hati kerana permintaannya untuk membaik pulih bumbung yang bocor di beberapa bahagian yang lain tidak  diluluskan, sedangkan memang umum mengetahui dana yang diperuntukkan itu memang untuk baik pulih rumah.

“Saya dah lebih 30 tahun tinggal di kampung ini, semua orang di sini pun tahu masalah kampung ini bila hujan pasti akan bah. Bila dapat bantuan baik pulih macam  ini, kami syukur sangat, tapi tak sangka lain pula jadinya,” katanya.