Pakatan: Presiden PAS ulas kenyataan Guan Eng
- Butiran
- Diterbitkan: Jun 2015
- Ditulis oleh Harakahdaily
MARANG: Presiden
PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menjelaskan bahawa
persetujuan bertulis pernah dibuat bersama antara tiga parti dalam
Pakatan Rakyat bagi menghormati hak masing-masing.
“Sebab itu, kita (PAS) memberi
peringatan acap kali dan sudah diadakan tandatangan bersama iaitu mereka
menerima hak kerajaan Kelantan yang dipimpin oleh PAS untuk membuat
sesuatu bagi melaksanakan Islam.
“Hak dia (DAP) tidak setuju terpulang
kepada dia, tapi dia (DAP) hendak nasihat supaya kita berhenti itu tidak
bolehlah,” ujarnya kepada media selepas menyampaikan kuliah mingguan di
Masjid Rusila, pagi tadi (19 Jun 2015).
Beliau menjelaskan demikian ketika
mengulas tindakan DAP menentang RUU persendirian yang dibawa oleh PAS ke
Parlimen, baru-baru ini.
Namun, katanya PAS telah mencapai satu
kejayaan apabila berjaya menarik orang bukan Islam menjadi ahli Dewan
Himpunan Penyokong PAS (DHPP) dalam sayap parti.
Berikut adalah transkrip ringkas soal jawab beliau bersama media.
Soalan: Sekarang ini apa yang
akan PAS buat kepada DAP yang telah bubar Pakatan Rakyat, adakah PAS
masih lagi mahu berada dalam pakatan?
Jawapan: Pertama, bila disebut pakatan
bermakna banyak parti dan bukan satu parti sahaja. Jika hanya satu parti
buat keputusan itu bukan pakatan. Pakatan ini kena ada dua
sekurang-kurang atau pun banyak (parti). Dalam hal ini kita faham apa
makna pakatan. Sehingga hari ini, PKR masih tidak buat apa-apa kenyataan
dan DAP telah membuat kenyataan dia. Ada pun dari segi buat keputusan
PAS ini bukan milik saya seorang. PAS ini milik pimpinan secara kolektif
dan dengan sebab itu saya perlu merujuk kepada kepimpinan PAS dan
termasuklah yang menjaga teras kepada dasar PAS iaitu Majlis Syura
Ulamak.
Pada Datuk Seri, adakah Datuk
Seri sebagai Presiden PAS boleh terima kenyataan Lim Guan Eng yang
mendakwa tidak wujud lagi Pakatan Rakyat?
Itu kenyataan peribadi dan pada saya itu
satu kenyataan yang tidak tepat kerana satu parti itu bukan pakatan.
Pakatan mesti merangkumi banyak parti yang ada dalam pakatan itu. Boleh
buka Kamus Dewan tengok apa makna pakatan.
Pada Datuk Seri, status Pakatan Rakyat itu masih wujud?
Ya, sehingga kini masih wujud.
Tetapi, Datuk Seri, Lim Guan Eng kata PKR juga telah menyatakan Pakatan Rakyat juga sudah tidak wujud lagi?
Saya melihat Kamus Dewan apa makna
pakatan dan dengan sebab itu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak membuat
kenyataan yang menunjukkan kita berpisah. Dan ini menunjukkan pakatan
antara dua parti masih ada. Manakala, dengan DAP sehingga hari ini kita
masih belum dapat satu keputusan secara rasmi dan kita dapat melalui
media sahaja.
Maknanya PAS akan bekerjasama dengan PKR sahaja?
Kita bekerjasama dengan semua parti yang tidak cauvinis, itu sikap kita.
Datuk Seri, dalam muktamar PAS
mahu melihat semula tahaluf siasi. Tapi, apabila pendekatan yang dibuat
oleh Lim Guan Eng dalam soal bubar pakatan ini, maksudnya PAS masih mahu
pertahankan pakatan ini atau masih menunggu MSU untuk membuat
keputusan?
Pakatan Rakyat dibubarkan dan terbubar
dengan sendirinya apabila semua parti dalam Pakatan Rakyat keluar
daripada pakatan atau dipecat semua tinggal satu sahaja. Jika masih ada
dua itu masih dalam pakatan.
Bagaimana dengan tindakan
kerajaan Pulau Pinang yang memecat Ahli Majlis PBT. Adakah itu
sememangnya DAP mahu memutuskan hubungan dengan PAS, Datuk Seri?
Kerajaan Pulau Pinang bukan sahaja
melibatkan dengan PAS termasuklah dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan
parti PKR masih ada lagi dalam Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Sebab itu,
keputusan kerajaan negeri mesti keputusan kerajaan yang melibatkan
parti yang ada dalam kerajaan itu.
Datuk Seri, yang jelas PAS masih sayangkan Pakatan Rakyat?
Kita sayangkan perpaduan. Perpaduan kaum kerana kita menerima hakikat masyarakat majmuk yang ada di Malaysia.
Pada Datuk Seri, Lim Guan Eng tidak berhak membut keputusan bubar pakatan?
Itu terpulang kepada masyarakat di bawah menilai. Biar masyarakat umum melihat kenyataan dia.
Bila agaknya, Majlis Syura Ulamak (MSU) akan membuat keputusan di antara hubungan PAS dengan DAP?
Itu akan ditentukan dalam mesyuarat yang
ditentukan oleh Jawatankuasa PAS Pusat pada bila-bila masa sahaja dalam
masa terdekat ini, insya Allah. - HARAKAHDAILY 19/6/2015
0 orang berkata:
Post a Comment