• Razali Ibrahim
 1 / 1 
MUAR - Masalah antara DAP dan Pas dalam pakatan pembangkang membuktikan gabungan itu sebenarnya bukan untuk memperjuangkan rakyat tetapi hanya tamakkan kuasa, kata Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Razali Ibrahim.

Beliau berkata rakyat perlu sedar kewujudan gabungan pembangkang termasuk PKR hanyalah untuk menjatuhkan kerajaan BN semata-mata dan  merampas tampuk pemerintahan.

"BN ditubuhkan untuk memperjuangkan rakyat tetapi gabungan pembangkang itu ditubuhkan hanya untuk menjatuhkan BN ... untuk merampas tampuk kuasa dan bukannya untuk rakyat," katanya kepada pemberita ketika melawat tapak bazar Ramadan Parit Yusuf, Pekan Baru di sini, hari  ini.

Razali yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengulas kemelut yang berlaku dalam pakatan pembangkang susulan kenyataan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng bahawa pakatan pembangkang kini tidak lagi wujud selepas Pas memutuskan hubungan dengan DAP.

Pas bagaimanapun mendakwa pakatan pembangkang masih lagi wujud dengan kerjasama dengan PKR masih diteruskan.

Kemelut DAP-Pas berlaku selepas Dewan Ulama Pas sebulat suara  meluluskan usul tergempar untuk memutuskan hubungan dengan DAP dalam  Muktamar Tahunan Pas ke-61 tanpa bahas, namun akan meneruskan tahaluf siyasi  atau kerjasama politik dalam pakatan pembangkang. - Bernama