BN, jangan takut baju Bersih kata Pas
KUALA LUMPUR - Pas menasihatkan BN supaya tidak takut pada baju Bersih
sebaliknya kredibiliti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan
kegawatan ekonomi lebih menakutkan.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, dalam situasi sekarang, sebarang tindakan kurang bijak dari kerajaan hanya akan menambah kemarahan rakyat.
"Kerajaan BN tidak perlu takut pada baju. Yang lebih menakutkan sekarang ialah kredibiliti Perdana Menteri dan kegawatan ekonomi negara serta keyakinan pelabur terhadap Malaysia kerana imej Najib yang sudah hancur.
"Rakyat kini kian tersepit. Percayalah dalam keadaan ini, sebarang tindakan bodoh hanyalah akan menambah kemarahan rakyat," katanya melalui kemaskini status di Facebook, hari ini.
Semalam, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan baju Bersih 4.0 atau penerbitan berkaitan perhimpunan ini.
Dalam kenyataan sama, beliau mendakwa kemungkinan tindakan Menteri KDN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri itu sebagai satu tindakan sabotaj Najib.
"Terfikir juga apakah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sedang mensabotaj Najib dengan tindakan mengharamkan baju Bersih 4.0?
"Mengapa Najib dan Kabinetnya tidak mahu mendengar nasihat adik Perdana Menteri, Datuk Seri Nazir Razak yang menasihatkan kerajaan untuk henti melakukan perkara bodoh sebagai langkah pertama menstabilkan ekonomi," katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment