Aliran trafik ke ibu negara sesak
KUALA LUMPUR - Aliran trafik dari utara dan selatan di Lebuhraya
Utara-Selatan (Plus) menuju ke ibu negara dilaporkan sesak dengan
pertambahan bilangan kenderaan berikutan cuti umum Hari Kebangsaan.
Keadaan kesesakan itu yang bermula jam 2 petang ini dijangka berterusan
sehingga malam ini, menurut jurucakap PLUS kepada Bernama.
"Sehingga kini keadaan trafik di beberapa laluan iaitu di Bukit Merah
ke Taiping mengalami kesesakan berikutan berlaku kemalangan di kawasan
itu.
"Selain itu, trafik bergerak perlahan di Changkat Jering ke Bukit
Berapit, kawasan Rehat & Rawat (RR) Sungai Perak ke Terowong Menora,
Gua Tempurung ke Tapah dan Bidor ke Slim River," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, aliran trafik dari Pedas Linggi ke Port
Dickson turut mengalami kesesakan, selain dari Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) ke Putrajaya berikutan kebakaran
belukar yang dipercayai berlaku di Dengkil menyebabkan jarak penglihatan
pemandu terhad.
Sementara itu, jurucakap Bilik Gerakan Trafik Kuala Lumpur ketika
dihubungi berkata, aliran trafik di sekitar ibu kota masih bergerak
lancar dan terkawal.
Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) pula melaporkan trafik
bergerak perlahan dari Bentong Timur ke Bukit Tinggi dan dari Genting
Sempah ke Plaza Tol Gombak.
Untuk maklumat lanjut dan terkini, orang ramai boleh menghubungi talian
bebas tol Plusline di 1800-88-0000 atau talian LLM 1800-88-7752 atau
layari www.twitter.com/plustrafik atau www.twitter.com/llminfotrafik. -
Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment