Perutusan Merdeka Muhyiddin tegur kerajaan
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamu’alaikum warahmatullahi wa barakatuh, salam sejahtera dan salam 1Malaysia.
Negara kita telah merdeka selama 58 tahun. Telah banyak kemajuan yang
dicapai oleh negara kita selama ini dan Malaysia berdiri megah sebagai
sebuah negara yang berdaulat, bermaruah dan dihormati di persada dunia.
Asas yang membina kemerdekaan dan kemajuan negara kita ialah kepercayaan.
Sebelum merdeka dahulu, penduduk negara ini yang berbilang kaum dan agama mempunyai rasa sangsi antara satu sama lain.
Namun, berkat kebijaksanaan pemimpin kita yang terdahulu, mereka telah
berjaya memupuk kepercayaan masyarakat majmuk di negara ini bahawa
Malaysia adalah milik semua warganegara tanpa mengira kaum dan agama.
Semua warganegara mempunyai hak yang dijamin oleh Perlembagaan dan
semua mereka bertanggugjawab untuk memelihara keamanan, keselamatan dan
keharmonian negara dengan memupuk perasaan saling mempercayai dan
menghormati antara satu sama lain.
Kepercayaan juga terbentuk antara pemimpin pelbagai kaum. Pemimpin
Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Dusun, Murut dan lain-lain boleh
duduk semeja untuk berbincang mengenai kepentingan semua kaum dan
merancang kemajuan negara kerana mereka mempercayai antara satu sama
lain.
Memang sepanjang negara ini ditadbir oleh Barisan Nasional, terdapat
beberapa masalah yang wujud antara masyarakat pelbagai kaum, tetapi
semua masalah ini dapat diatasi kerana pemimpin Barisan Nasional percaya
bahawa perundingan dan kerjasama adalah jalan terbaik untuk mencari
penyelesaian yang menguntungkan semua pihak.
Rakyat juga mempercayai kerajaan yang memerintah. Mereka percaya bahawa
kerajaan bertanggungjawab untuk memerintah secara adil dan saksama,
melaksanakan pembangunan demi kesejahteraan rakyat, memacu kemajuan
ekonomi, menyediakan pendidikan yang berkualiti, mewujudkan
peluang-peluang pekerjaan dan meningkatkan tarafnhidup rakyat.
Kerana itu, selama 58 tahun merdeka, rakyat di negara kita tidak pernah
bertindak melampau untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara
demokratik menerusi pilihanraya yang bebas dan adil.
Para pelabur dan komuniti perniagaan juga selama ini mempunyai
kepercayaan yang tinggi terhadap negara kita. Mereka yakin bahawa dengan
kestabilan politik, keharmonian kaum dan kecekapan kerajaan mengurus
negara, pelaburan dan perniagaan mereka di negara kita adalah terjamin.
Dengan keyakinan ini, Malaysia merupakan antara penerima pelaburan
langsung asing yang tertinggi di rantau ini dan saban tahun mencatatkan
pertumbuhan ekonomi yang positif.
Sekiranya kita dapat mengekalkan, malah memperkukuhkan kepercayaan
antara sesama pemimpin, antara sesama rakyat, antara rakyat dan
pemimpin, antara kerajaan dan rakyat, antara pelabur, komuniti
perniagaan dan institusi ekonomi negara, maka saya yakin negara kita
akan terus berada pada landasan yang betul dan bersedia untuk mencipta
lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.
Namun, pada masa ini ramai pihak berpandangan bahawa negara kita sedang
menghadapi masalah defisit kepercayaan (trust deficit) yang parah.
Kepercayaan rakyat kepada kerajaan sudah semakin longgar. Kepercayaan
pelabur dan komuniti perniagaan kepada ekonomi negara juga sudah luntur.
Ringgit kita kian merudum terutamanya berbanding dolar Amerika dengan
nilainya sekarang yang paling rendah dalam tempoh 17 tahun. Pasaran
saham jatuh, rizab negara merosot dan sentimen pengguna adalah paling
rendah dalam tempoh 7 tahun.
Benar, faktor luaran seperti kejatuhan harga komoditi mempengaruhi
pasaran kewangan dan ekonomi, tetapi prestasi kita antara yang paling
rendah dalam kalangan negara-negara serantau. Inilah realiti yang harus
kita terima dan mesti diatasi dengan segera.
Saya menyambut baik kenyataan Gabenor Bank Negara bahawa asas ekonomi
negara kita kukuh. Ini adalah satu perkembagan yang amat baik untuk kita
membina semula kepercayaan masyarakat dunia terhadap ekonomi dan
politik negara kita.
Yang perlu kita atasi ialah sentimen rakyat, pelabur dan masyarakat
antarabangsa terhadap negara kita yang agak negatif disebabkan oleh
beberapa isu politik yang sedang melingkari kita hari ini.
Rakyat semakin resah apabila hari demi hari prinsip integriti dan
akauntabiliti kelihatan semakin terhakis dalam pentadbiran negara.
Pegawai-pegawai kerajaan yang dedikasi dalam melaksanakan tugas
ditamatkan perkhidmatan, ditukar, diugut dan diambil tindakan.
Kebebasan institusi-institusi penting negara seperti Jabatan Peguam
Negara, Polis DiRaja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
dan Bank Negara Malaysia seolahnya semakin disekat.
Tidak dapat dibayangkan dalam sejarah perkhidmatan awam negara kita,
terdapat pegawai-pegawai kanan kerajaan yang berdedikasi sanggup
bersuara lantang menentang pihak atasan yang cuba mencabuli prinsip
perkhidmatan awam yang adil, tegas dan berkecuali.
Ada juga sesetengah pemimpin politik yang mengugut untuk menyekat
kebebasan rakyat daripada menyuarakan pandangan terutamanya di media
sosial kerana tidak sanggup lagi mendengar kritikan dan teguran rakyat
yang semakin hari semakin lantang.
Selain itu, mereka yang menegur tindak tanduk pemimpin digelar sebagai
pengkhianat dan dituduh hendak menggulingkan kerajaan. Mereka ini jelas
tidak dapat membezakan antara menegur pemimpin dengan menggulingkan
kerajaan adalah dua perkara yang berlainan.
Betapa ramai pemimpin negara sebelum ini yang menerima teguran, tetapi kerajaan terus kekal, malah bertambah kukuh.
Atas segalanya, kredibiliti pemimpin semakin dipersoalkan. Institusi
demokrasi yang ada dilihat sudah tidak dapat lagi berfungsi dengan baik
untuk melakukan perubahan kerana ditekan dan dikawal dengan ketat oleh
mereka yang berkuasa.
Saya bimbang selagi kemelut besar kepimpinan ini tidak dapat
diselesaikan, maka selagi itulah negara dan kerajaan akan terus dibebani
dengan masalah defisit kepercayaan yang semakin parah.
Bagi saya, isu kepercayaan ini akan dapat diselesaikan jika negara kita
kembali dipimpin berlandaskan prinsip integriti, akauntabiliti dan
penanggungjawaban kepada rakyat. Prinsip ini jugalah yang dituntut oleh
Islam ke atas setiap pemimpin sebagaimana hadis Rasululullah SAW.
Kullukum ra’in wa kullu ra’in mas’ulun ‘an ra’iyyatih
Yang bermaksud:
“Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin bertanggungjawab ke atas orang yang dipimpinnya”.
Sesuai dengan tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, iaitu “Sehati
Sejiwa”, marilah kita bersama-sama membentuk kesatuan hati atau
“wahdatul qulb” untuk membina semula kepercayaan terhadap negara kita
dengan mengembalikan kepimpinan yang berintegriti, berakauntabiliti dan
bertanggungjawab.
Yakinlah bahawa Malaysia adalah tanah air kita yang berdaulat dan
bermaruah, dan kita sebagai rakyat bertanggungjawab untuk terus
memelihara kedaulatan dan maruah negara kita. Saya berdoa agar negara
kita terus kekal aman, maju dan berdaulat.
Selamat menyambut Hari Kebangsaan ke-58.
Merdeka! Merdeka! Merdeka!
0 orang berkata:
Post a Comment