Himpunan Bersih kali ini ramai orang Umno turun
PETALING JAYA - Angkatan Muda Keadilan (AMK) tidak terkejut jika lebih
ramai ahli Umno akan menyertai himpunan aman Bersih 4.0 pada 29 dan 30
Ogos ini namun perkara katanya sudah dijangka.
Ketuanya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, beliau tidak menghalang mana-mana pihak untuk berhimpun secara aman kerana ia dijamin Perlembagaan.
"Saya tidak menghalang sesiapa saja nak berhimpun, itu sebahagian daripada hak Perlembagaan, sama ada orang suka Bersih atau tidak, itu hak masing-masing.
"Kali ini mungkin lebih ramai orang Umno akan turun Bersih dan berada dalam himpunan anti Bersih, tapi saya rasa tiada impak," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas tindakan sekumpulan aktivis penyokong Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengugut membawa 30,000 peserta berbaju merah bagi menyatakan bantahan pada perhimpunan Bersih 4.0 pada hujung bulan ini.
Mereka, yang menggelarkan diri sebagai 'Gabungan NGO-NGO Malaysia', juga berkata akan berkumpul di depan rumah pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah jika perhimpunan itu diteruskan.
[ARTIKEL BERKAITAN: Pas tidak kerah ahli, penyokong sertai Bersih 4.0]
Dalam pada itu, Nik Nazmi juga berkata pihaknya sedia menerima sesiapa sahaja dalam perhimpunan aman itu, namun ia perlu mendapat kerjasama sepenuhnya daripada pihak polis untuk mengawal keadaan.
"Saya harap pihak polis dapat mengawal keadaan dengan baik dan saya yakin dengan pengalaman kita sebelum ini.
"Kalau pihak polis memainkan peranan mereka, ini (bertembung anti Bersih 4.0) tiada masalah bagi saya," katanya lagi.
0 orang berkata:
Post a Comment