Misi 34 jam Bersih 4.0, akhirnya ke mana?
TEMPOH 34 jam yang dilalui ribuan peserta himpunan
Bersih 4.0 bukan satu tempoh singkat jika dialami sendiri di lokasi
dengan pelbagai cabaran termasuk cuaca yang panas terik dan hujan,
faktor keselamatan, tempat untuk berehat atau tidur dan sebagainya.
Soalnya setelah tempoh panjang itu dilalui, tercapaikah matlamat dan
tuntutan yang dikemukakan? Adakah ia didengari pihak yang disasarkan
penganjur dan peserta Bersih 4.0?
Lima tuntutan Bersih 4.0 adalah pilihan raya bebas dan adil, sebuah
kerajaan yang telus, hak untuk berdemonstrasi, mengukuhkan sistem
demokrasi berparlimen dan menyelamatkan ekonomi negara.
Namun, sepanjang berlangsungnya himpunan tersebut, laungan mahupun
gesaan mereka termasuk para pemimpin yang menyertai bantahan itu
hanyalah mendesak supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
berundur.
Kalimah ‘undur, undur, undur Najib’ terus menjadi kalimat berhantu yang
diulang ucap peserta. Tidak cukup dengan itu, pelbagai poster, sepanduk
mahupun plakad dipamerkan yang mengutuk Najib dan isterinya, Datin Seri
Rosmah Mansor.
Persoalannya, adakah lima tuntutan yang digariskan untuk diperjuangkan
Bersih 4.0 sampai kepada pihak yang ditujukan iaitu kerajaan dengan cara
seperti ini?
[ARTIKEL BERKAITAN: Bersih 4.0 berakhir, 34 jam penuh dengan mesej]
Najib semalam mengulang pendirian bahawa beliau sama sekali tidak akan
berundur sebaliknya akan terus mempertahankan negara daripada sebarang
desakan yang cuba ditimbulkan kumpulan tertentu.
Sementara itu, kemunculan sebanyak dua kali bekas Perdana Menteri, Tun
Dr Mahathir Mohamad di lokasi perhimpunan nyata disambut meriah para
peserta namun ada juga yang kurang menerima kehadiran beliau dan
menganggap apa yang berlaku hari ini berpunca daripada bekas pemimpin
negara itu.
[ARTIKEL BERKAITAN: Najib: Kerajaan tidak akan berundur]
Bukan satu fenomena baharu, kelmarin menyaksikan ibu negara
'diselimuti' gelombang kuning apabila ribuan peserta Bersih membanjiri
sekitar Dataran Merdeka meskipun kerajaan telah mengharamkan pemakaian
baju T berkenaan.
Sepanjang tempoh 34 jam itu, pihak berkuasa mengawal dan memberi
kerjasama yang baik malah turut dipuji peserta-peserta himpunan itu.
Semuanya bermula dengan tenang meskipun gamat dengan pelbagai bunyi
jeritan, laungan serta tiupan vuvuzela namun ia berakhir dengan suasana
yang agak tegang termasuk cubaan mencederakan peserta dengan mercun,
pergaduhan kecil serta kedegilan sebahagian kecil peserta yang enggan
pulang selepas tamat laungan merdeka.
Suspek baling mercun itu telah pun ditahan polis dan empat mangsa yang
cedera telah menerima rawatan namun tiada kecederaan yang serius
dilaporkan.
Dalam pada itu, menurut Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA) Seksyen 20 (1)
(c), Akta 736 terdapat larangan para peserta membawa kanak-kanak ke
sebarang himpunan namun, masih kelihatan kanak-kanak termasuk bayi dalam
kumpulan bantahan tersebut.
Himpunan kali ini juga menyaksikan gelombang anak muda dari kaum Cina
yang didakwa sebagai kebangkitan ‘real Malaysian’ oleh salah seorang
peserta yang ditemui kelmarin.
Kelibat pemimpin pembangkan turut kelihatan sejak hari pertama himpunan
itu diadakan dan pelbagai aktiviti mengisi slot sepanjang 34 jam itu
termasuk ucapan, nyanyian, puisi dan banyak lagi.
Disebalik kedegilan beberapa peserta dan orang awam yang masih berada
di Datara Merdeka meskipun telah diarahkan bersurai berulang kali
sejurus laungan merdeka dilaungkan.
Kawasan Dataran Merdeka lengang kira-kira 1.30 pagi meskipun masih
kelihatan beberapa orang awam duduk-duduk di tepi-tepi jalan.
Sekali lagi, kita ajukan persoalan ini, setelah 34 jam berlalu,
tercapaikah misi Bersih 4.0 atau ia hanya meninggalkan sisa-sisa kotoran
di ibu negara saat negara menyambut Hari Kemerdekaan ke-58 hari ini?
Selamat menyambut Hari Kemerdekaan ke-58 Malaysiaku. Merdeka! Merdeka! Merdeka!
1 orang berkata:
misi utama BERSIH ialah mendapatkan kritikan bodoh dari org2 bangang. berjaya. kamu pun turut kritik BERSIH.
Post a Comment