Wujud pakatan di sebalik sumbangan RM2.6 bilion?
SHAH ALAM – Bekas Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz mempersoalkan
sama ada wujud pakatan tertentu di sebalik sumbangan RM2.6 bilion ke
akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata, wang ringgit dilihat seolah-olah begitu penting sehingga memerlukan penderma asing untuk menggerakkan parti.
“Persoalan saya ialah apa agaknya pakatan-pakatan tertentu di sebalik
sumbangan tersebut? Apa agaknya yang dijanjikan kepada mereka
(penderma)?
“Pendekatan apa agaknya yang dijangka dan diharapkan oleh penderma yang
sanggup menderma wang sebegitu besar jumlahnya?” soal beliau dalam satu
kenyataan, semalam.
Rafidah yang juga bekas menteri Kabinet turut mempersoalkan sama ada
sumbangan itu akan menyebabkan kerajaan terhutang budi kepada penderma
dan membolehkan kerajaan dipengaruhi pihak luar.
“Umno adalah parti tunjang kerajaan BN. Mempengaruhi Umno akan bererti mempengaruhi kerajaan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mendakwa politik wang telah menjadi kebiasaan dalam Umno dan menjadi masalah yang begitu serius.
“Sebenarnya, setiap ahli Umno wajar merasakan isu RM2.6 bilion sebagai
masalah mereka sendiri. Ia pada asasnya memaparkan bagaimana politik
wang dalam Umno telah mencapai satu tanda aras tinggi yang baru.
“Bagaimana wang ringgit telah menjadi penggerak tunggal untuk kerja
berjalan di peringkat akar umbi. Ia merupakan corak dan ciri-ciri budaya
politik Umno pada masa sekarang dan menuju ke hadapan,” katanya.
Katanya, politik wang ini bukan saja menghancurkan keperibadian parti
tetapi juga akan merosakkan semangat juang, berusaha dan berkhidmat
dalam kalangan pemimpin parti.
“Pemimpin Umno di semua peringkat mesti menerima dan mengambil sedikit
sebanyak tempias isu wang dalam akaun presiden itu. Pasti sebahagian
wang tersebut telah turun ke akar umbi dan tentu ramai yang telah
sama-sama 'merasa'.
“Atau tidakkah kita patut menolak gejala politik wang supaya siapa juga
yang dipilih sebagai pemimpin, adalah yang benar-benar berkemampuan
untuk berkhidmat,” katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment