Ahmad Zahid Hamidi
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi 
 
[DIKEMAS KINI] KUALA LUMPUR - Sementara teka-teki Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) berlarutan, pemimpin kanan Umno yakin prestasi parti itu tidak akan merosot daripada paras yang disaksikan empat tahun lalu meskipun tidak mengatasi rekod 2004.

Bercakap kepada Sinar Harian Online di pejabatnya di sini semalam, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merumuskan: "Tidak lebih baik daripada keputusan pilihan raya 2004, dan tidak lebih buruk daripada pilihan raya 2008."

Buat kali pertama prestasi Barisan Nasional (BN) merosot sehingga hilang majoriti dua pertiga di Parlimen dan tewas di lima kerajaan negeri pada Mac 2008.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, BN hanya memperoleh 140 kerusi manakala pembangkang 82 kerusi.

Naib Presiden Umno penggal pertama ini diajukan persoalan ini ketika beberapa pihak dalam Umno dan luar BN meramalkan prestasi perikatan 13 parti itu akan merosot berbanding 2008 sementara Pakatan Rakyat (PR), yang dianggotai Pas, DAP dan PKR yakin akan menambah kerusi dalam usaha menawan Putrajaya.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli sebelum ini pernah berkata, sehingga 105 kerusi Parlimen berada dalam tangan mereka sekarang.

Minggu lalu, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau masih berkeyakinan bahawa BN masih boleh menang pada PRU13, namun jika kemenangan itu, adalah kemenangan yang hanya dengan majoriti mudah.

Parlimen memperuntukkan 222 kerusi. Kerajaan dengan majoriti mudah akan dibentuk apabila memperoleh 112 kerusi manakala kuasa dua pertiga akan diperoleh jika mendapat 148 kerusi.

Ini pilihan raya umum pertama dipimpin oleh Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri.

Pada 2004, ketika di bawah kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi selaku Perdana Menteri, BN memperoleh 92 peratus kerusi Parlimen dan hanya kalah satu negeri dan dapat menawan semula Terengganu. Ia pilihan raya umum pertama sejak mengambil jawatan Perdana Menteri pada Oktober 2003.

Sehubungan itu kata Zahid, perlu bagi BN terus bekerja keras biarpun kini jentera parti telah bersiap sedia menghadapi kemungkinan PRU pada bila-bila masa.

Sambil menyatakan PRU kali ini pastinya lebih mencabar, cabaran yang lebih utama bagi BN adalah khalayak.Jelasnya, komunikasi secara lisan melalui media baru memainkan peranan  kerana medium komunikasi telah bertukar dengan media baru yang menguasai sebahagian besar khalayak.

Bagaimanapun, kata Zahid, faktor media sahaja tidak menjadi penentu utama yang menjadi penyumbang kepada pembuat keputusan.

"(BN) bukan sahaja (perlu) bekerja keras, tetapi bekerja dengan penuh bijaksana, hati khalayak mesti diambil. Kita mesti ambil hati khalayak.

"Analisis saya tidak bias, walaupun saya naib presiden, analisis saya tidak bias, saya memandang dari segi objektif," katanya.

Ditanya mengenai penekanan diberikan oleh pemimpin-pemimpin kanan secara berterusan ketika merasmikan persidangan bahagian sepanjang dua tiga minggu lalu bahawa ahli-ahli Umno perlu menyelesaikan masalah dalaman dengan segera, Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata, "yang mencabar bukan kekuatan parti pembangkang... itu kita boleh atasi."

"Isu yang dibangkitkan (oleh pembangkang), kita boleh atasi," katanya dengan yakin.
Pun begitu tambah beliau, fokus pihaknya ialah masalah dalaman Umno, antaranya "kerana budaya selesa... yang masih tebal."

Apabila ditanya bahawa masalah dalaman sudah lama ditekankan termasuk sejak Najib dipilih sebagai Presiden Umno pada Mac 2009, Zahid berkata, "ya, ya... kerana itu kita katakan seratus peratus masalah dalaman mesti diselesaikan."

"Walaupun presiden, timbalan presiden, naib-naib presiden, dan ahli-ahli Majlis Tertinggi (Umno) telah diminta turun ke bawah, namun kita mendapati (ia) isu yang menjadi stigma besar kepada ibu pejabat parti Umno," kata beliau.

Beliau turut mengakui keadaan itu ketara di negeri-negeri BN mengalami kekalahan pada 2008.

"Ya, ya, ya," jawab beliau mengenai soal isu puak yang dikhuatiri menjejaskan peluang Umno-BN dalam PRU13.

Sambil menegaskan kepimpinan Umno ada kaedah yang sedang diambil untuk mengatasi masalah berkenaan, Zahid yakin bahawa walaupun tidak seratus peratus selesai, sebahagian besar dapat diatasi menjelang PRU13.