Menjelang PRU 13
Menjelang PRU 13 
 
[DIKEMAS KINI] SHAH ALAM - Peratusan jangkaan Barisan Nasional (BN) akan menang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) merosot berbanding awal tahun, demikian menurut hasil kajian terbaru diumumkan hari ini.

Sebaliknya, jangkaan bahawa Pakatan Rakyat (PR) akan mencapai misinya menguasai Putrajaya dan menggantikan BN di pusat pula meningkat.


Peratusan pengundi yang tidak pasti berhubung soalan yang membawa kepada jangkaan itu - "dengan andaian anda tidak memihak kepada mana-mana parti politik, parti manakah yang anda jangka akan menang di peringkat nasional dalam PRU13 dan menguasai Putrajaya", mengalami penurunan daripada 30 peratus kepada 26 peratus. Kedudukan itu dilihat menggambarkan pendirian pengundi atas pagar.


Kajian Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) ini menunjukkan hanya 44 peratus mengatakan BN dijangka menang di peringkat nasional berbanding jangkaan 49 peratus Mac lalu. Dalam pada itu, peratusan keyakinan PR akan menang meningkat daripada 21 peratus kepada 30 peratus.

Kajian perbandingan pusat ini dijalankan pada Mac-April dan September 2012. Kajian awal dijalankan antara 31 Mac dan 15 April manakala yang terbaru dari 1 hingga 16 September lalu.

 
Dalam pada itu, kajian yang sama menunjukkan bahawa bilangan responden yang yakin PR akan mengekalkan kuasa di Selangor meningkat besar daripada 38 peratus pada Mac kepada 50 peratus.

Bagaimanapun jangkaan bahawa BN akan menang juga merosot daripada 28 peratus kepada 16 peratus.

Jangkaan di kalangan responden yang tidak pasti kekal 34 peratus pada Mac dan September.
Senario yang sama ditunjukkan oleh data membabitkan Kedah.

Paras jangkaan PR akan menang di Kedah naik daripada 37 peratus kepada 48 peratus manakala di pihak BN pula menurun daripada 40 peratus kepada 32 peratus.

Jangkaan di kalangan responden tidak pasti menurun sedikit daripada 23 peratus kepada 20 peratus.

Bagaimanapun jangkaan bahawa BN akan menang di Kelantan mengalami peningkatan daripada 27 peratus kepada 32 peratus.

PR akan kekal kuasa merosot daripada 44 peratus kepada 41 peratus. PR dianggotai oleh Pas, DAP dan PKR.

Pas memerintah Kelantan sejak 1990.Selangor, Kedah dan Pulau Pinang dikuasai oleh PR pada Pilihan Raya Umum 2008.
Kajian Mac-April menggunakan 2,282 responden manakala kajian terbaru membabitkan 1,536 responden.

Daripada 1,526 responden, seramai 1,041 melibatkan orang Melayu, Cina (385) dan India (110).

Dalam kenyataan hasil kajian yang dikeluarkan hari ini, Umcedel berkata, pemilihan responden dipilih secara rawak dengan soalan kaji selidik berstruktur.