• Dr Tan Seng Giaw Dr Tan Seng Giaw
1 / 1
SHAH ALAM – Pertikaian pelbagai pihak terhadap operasi syarikat pelaburan nasional, 1Malaysia Development Bhd (1MDB) di luar negara yang mencurigakan hanya dapat diselesaikan dengan mengaudit akaun syarikat kerajaan itu.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Dr Tan Seng Giaw menegaskan hanya akaun yang tulen sahaja boleh diaudit oleh Jabatan Audit Negara sebelum jawatankuasa Parlimen itu memanggil 1MDB untuk pendengaran umum.

“Bagi perkara yang dipertikaikan seperti 1MDB, satu cara penyelesaian ialah akaun syarikat kerajaan itu diaudit oleh Jabatan Audit dan seterusnya dikaji oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang.

“Hanya akaun yang tulen diperiksa. Pengurusan wang rakyat mestilah diperlihatkan sebagai penuh tanggungjawab,” katanya kepada Sinar Online, hari ini.


[ARTIKEL BERKAITAN:PAC: Segera lakukan audit ke atas 1MDB]

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Rabu yang mengarahkan Ketua Audit Negara untuk mengesahkan secara bebas akaun 1MDB.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri pada Rabu, laporan Ketua Audit Negara akan diserahkan untuk pemeriksaan telus kepada PAS yang bersifat bipartisan sepenuhnya dan mencerminkan komposisi Parlimen.

Kenyataan itu turut menerangkan bahawa perdana menteri pada Rabu telah memanggil 1MDB dan juru audit mereka, Deloitte menghadap Kabinet berikutan laporan media baru-baru ini.