• ATM nafi terlibat bawa peserta #kitalawan
1 / 1
SHAH ALAM - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menafikan kenderaan miliknya digunakan untuk membawa peserta perhimpunan #kitalawan seperti yang tersebar di laman sosial Facebook, semalam.

ATM dalam satu kenyataan menegaskan bahawa kenderaan awam yang tertera perkataan 'Feri Sekolah Angkatan Tentera Malaysia' itu sebenarnya adalah milik sebuah syarikat swasta.

"ATM ingin menegaskan bahawa kenderaan tersebut bukan milik ATM. ATM tidak terlibat di dalam aktiviti yang dimaksudkan sepertimana yang telah disebarkan.

"Kenderaan yang dikenal pasti adalah milik syarikat swasta yang menyediakan perkhidmatan Feri Sekolah untuk anak-anak ATM dari kuaters ATM ke sekolah-sekolah dalam kawasan Kuala Lumpur setiap hari persekolahan sahaja," kata kenyataan itu.

Gambar kenderaan terbabit tersebar di laman sosial semalam yang memaparkan kenderaan itu telah digunakan untuk mengangkut peserta-peserta perhimpunan #kitalawan di Dewan Sivik, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Dalam pada itu, ATM telah menghubungi dan mengesahkan bahawa kenderaan itu telah disewa oleh pengguna awam lain dan perkara di luar kawalan pihaknya.

"Pihak ATM telah mengarahkan syarikat tersebut memberikan penjelasan rasmi beserta laporan berhubung kejadian itu yang telah mencemarkan nama baik ATM dan akan mengkaji semula langkah-langkah serta tindakan susulan," kata kenyataan itu lagi.

Sehubungan itu, ATM menegaskan sekali lagi bahawa kejadian yang tersebar itu tiada kena mengena dengan pasukan keselamatan itu dan menyeru masyarakat agar tidak mempercayai penyebaran maklumat palsu itu.