• Khairul Anwar Rahmat Khairul Anwar Rahmat
1 / 1


SHAH ALAM - [KEMASKINI] Tiada peruntukan di dalam undang-undang negara ini untuk membenarkan individu yang didapati bersalah dan dipenjarakan hadir ke persidangan Dewan Rakyat.
Pengerusi SukaGuam, Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, perkara itu juga belum pernah berlaku dalam sejarah Malaysia.

“Amatlah janggal apabila Parlimen yang telah menggubal peruntukan setiap hukuman terhadap pesalah boleh mengizinkan pula pesalah tersebut ke Parlimen sebagai penggubal undang-undang,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau mengulas sama ada terdapat peruntukan di dalam undang-undang negara ini yang membolehkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir ke Dewan Rakyat apabila jawatannya sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh masih tidak terlucut sementara menunggu  permohonan pengampunan diraja yang difailkan keluarganya.

PKR sebelum ini menyatakan kemungkinan ingin mengambil tindakan undang-undang berhubung keputusan Jabatan Penjara tidak membenarkan Anwar hadir ke persidangan Dewan Rakyat yang akan bermula esok.

Ditanya mengenai tindakan PKR itu, Khairul Anwar berkata, memang parti itu mempunyai hak untuk memfailkan kes berkenaan.

“Namun harapan untuk PKR menang dalam kes tersebut jika ia dibawa ke mahkamah mungkin tipis apabila undang-undang sendiri menjelaskan tiada peruntukan pesalah dibenarkan ke Dewan Rakyat.

“Saya juga percaya Ketua Pengarah Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar sudah tentu bertindak berdasarkan amalan dan peruntukan undang-undang,” katanya.

Bagaimanapun kata Khairul Anwar, sekiranya terdapat percanggahan dalam pandangan perundangan berhubung isu ini, ia sepatutnya dibawa ke mahkamah.

“Ini supaya tafsiran undang-undang dapat dibuat oleh mahkamah yang bijaksana dengan lebih tepat,” katanya.