• hudud
1 / 1
KUALA LUMPUR - Sebarang pelaksanaan undang-undang hudud di Kelantan harus mengikut cara adil dan betul, kata Presiden Pertubuhan Pemikir Agenda Watan Malaysia (Pemikir), Tan Sri Abdul Aziz Yassin.

Beliau berkata, umat Islam wajib mengikuti undang-undang Islam itu sementara pelaksanaannya haruslah berlandaskan syariah.

"Walaupun Pemikir tidak membantah pelaksanaan undang-undang itu, namun pelaksanaannya memerlukan kajian dan perbincangan menyeluruh bagi mengelak ketidakadilan dalam pelaksanaannya kelak," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Pemikir di sini, hari ini.

Beliau mengulas keputusan Dun Kelantan pada 19 Mac meluluskan rang undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) atau lebih dikenali sebagai undang-undang hudud untuk dilaksanakan di negeri itu.

Dalam pada itu, Abdul Aziz menyokong nasihat anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya MCA dan Gerakan tidak mencampuri hal ehwal agama Islam.

"Kita tidak pernah campur tangan dari segi agama mereka...mereka juga tidak mengetahui berkenaan hukum Islam," kata Ismail Sabri.

Gerakan pada Rabu lepas memfailkan saman pemula bagi memohon deklarasi pembatalan terhadap Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 itu, atas alasan ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Seorang pemimpin MCA pula dilaporkan berkata parti itu harus memutuskan hubungan dengan Umno berhubung sokongannya terhadap RUU itu di Dun Kelantan. - Bernama