• Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali
1 / 1
KOTA BHARU - [KEMASKINI] Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dan Bendahari Agung parti, Dr Hatta Ramli akan dipanggil Jawatankuasa Khas siasatan parti untuk disiasat berhubung dakwaan menjadi dalang kepada gerakan menjatuhkan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, kedua-dua pemimpin kanan parti itu akan dipanggil dalam masa terdekat.

"Yang buat tuduhan, kita panggil. Yang kena tuduh, pun kita akan panggil," katanya.

Dalam satu himpunan di hadapan Pejabat Agung Pas di Kuala Lumpur awal bulan lalu, sekumpulan ahli parti itu yang diketuai Ketua Dewan Pemuda Pas Kuantan, Fadhli Ibrahim mendesak komplot yang didakwa diketuai Dr Hatta melepaskan semua jawatan dalam parti kerana dikatakan terlibat dengan gerakan mahu menjatuhkan Abdul Hadi sebagai Presiden Pas.

Dalam pada itu, Mustafa yang ditemui selepas majlis agihan bantuan banjir di Dewan Jubli Perak, semalam yakin Abdul Hadi akan mengekalkan jawatan tanpa pertandingan pada pemilihan Jun ini.

Ini kerana pada pandangannya, tidak ada calon lain mampu mencabar Abdul Hadi.

“Desas-desus kononnya Datuk Seri Presiden akan digulingkan tidak mungkin terjadi, sebaliknya kita yakin Presiden akan terus mendapat sokongan penuh untuk mengekalkan jawatannya, malah selepas 2015 kita akan terus saksikan Abdul Hadi kekal menerajui Pas,” katanya.

Ditanya pula mengenai kemungkinan jawatan timbalan presiden yang disandang Mohamad Sabu akan dicabar sekali lagi pada pemilihan parti itu nanti, Mustafa berkata, jawatan tersebut dijangka bakal dipertandingkan.

“Saya yakin Abdul Hadi kekal sebagai presiden. Timbalan, saya tidak tahu. Jawatan timbalan sentiasa berlawan, saya jangka ada pertandingan seperti biasa,” katanya.

Kepimpinan Abdul Hadi kini didakwa goyah berikutan gerakan tersusun kumpulan tertentu dalam parti itu yang ingin menjatuhkannya sehingga ada secara terbuka menyatakan sokongan kepada Mat Sabu untuk bertanding merebut jawatan presiden.