• Ketua Pemuda Pas Pahang, Nazri Ahmad Nazri
1 / 1
KUANTAN - Ketua Pemuda Pas Pahang, Nazri Ahmad menggesa supaya pimpinan tertinggi parti itu tidak melengah-lengahkan buat siasatan ke atas individu yang mahu menjatuhkan presiden.

Nazri berkata, sudah banyak bukti terkumpul dan terkini viral video pemimpin kanan parti itu yang memang ada faktor ke arah untuk menggulingkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menurutnya, selepas memorandum dihantar oleh Pemuda Pas Kuantan, ada lagi beberapa kawasan lain yang membuat laporan disiplin mengenai individu yang disyaki.

“Saya tidak berkata setuju bahawa pemimpin kanan tersebut terlibat tetapi video yang menjadi viral itu membuktikan bahawa ada bukti menjatuhkan pemimpin," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, perkara itu tidak sepatutnya ‘disenyapkan’ dan perlu disiasat secara menyeluruh kerana perkara yang berlaku ada persamaan seperti yang didakwa sebelum ini.

“Antaranya ialah penyanggahan Pas Pusat mengenai pandangan presiden secara terbuka dan Pasma juga dilihat mengkritik presiden secara terbuka sebelum ini,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini menyiarkan pendedahan Ketua Pemuda Pas Kuantan,    Noorzazilafadli Ibrahim mengenai komplot menjatuhkan Abdul Hadi dengan menghantar memorandum kepada pemimpin tertinggi parti itu.

Kelmarin, Ketua Pegawai Operasi Pusat, Dr Muhd Zuhdi Marsuki mendakwa gerakan untuk menjatuhkan Abdul Hadi oleh kumpulan tertentu sudah bermula sejak 1998 dan dianggap serius.

Beliau turut mendakwa, kumpulan berkenaan membentuk pasukan dalam Pas sedangkan budaya seperti itu tidak ada dalam parti Pas dan mengibaratkan kemunculannya seperti barah.