• Nur Jazlan Mohamed
1 / 1
JOHOR BAHRU - "Saya tidak menolak hudud atau menolak hukum ALLAH," jelas Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan kenyataannya sebelum ini, bahawa tiada keperluan untuk kerajaan Pas Kelantan melaksanakan undang-undang hudud di negeri itu pada masa ini.

Menurutnya, Kerajaan Pas Kelantan sepatutnya memfokus perkara lain yang lebih penting daripada memberi keutamaan kepada soal pelaksanaan hudud di negeri berkenaan.

"Pas nampaknya lebih mendahulukan hukuman itu daripada memberi keutamaan kepada perkara lain. Mereka sepatutnya menumpukan usaha membangunkan Islam dan bukannya menghukum orang Islam.

"Bukan saya menolak hudud apatah lagi menolak hukum ALLAH, tapi setakat ini saya rasa negara kita sudah maju sejak berpuluh tahun kebelakangan ini dan tiada rakyat yang tercicir tidak kira beragama Islam," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Nur Jazlan berkata, kerajaan Pas Kelantan sepatutnya lebih memberi keutamaan kepada soal membantu rakyat di negeri itu yang terjejas teruk akibat banjir hujung tahun lalu.

Selain itu, katanya, selama ini ALLAH merestui setiap usaha dilakukan kerajaan pimpinan BN kerana memberi tumpuan kepada perkara yang utama.

"Kita sebagai kerajaan (selama ini) membangunkan negara sebagai sebuah negara Islam, kita membina masjid dan mengembangkan syiar Islam sebagai keutamaan sepanjang memimpin negara," katanya.

Terdahulu, Dun Kelantan meluluskan rang undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) yang hanya terpakai kepada orang Islam apabila ia dilaksanakan kelak di negeri ini.

Dilaporkan kesemua 44 ahli dewan meluluskan sebulat suara rang undang-undang berkenaan termasuk 12 Adun BN.