• ‘Itu memang gambar ahli kami, tapi diubahsuai’ Keterangan gambar‎ - Boon Chye (tengah) menunjukkan perbezaan gambar asal dan gambar yang telah diubah suai ketika sidang media bersama-sama Radzi (kanan) dan Naib Ketua PKR Cabang Gopeng, Zainuddin Mohamad hari ini. - Foto Sinar Harian oleh SAIFULLAH AHMAD
1 / 1
GOPENG - PKR Cabang Gopeng mengesahkan sekumpulan individu yang memegang sepanduk yang tertulis 'Undur Hadi Undur' ketika demonstrasi #kitalawan di ibu negara, semalam ter‎diri daripada ahli Cabang itu.

Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Bon Chye bagaimanapun menjelaskan, gambar tersebut telah diubahsuai oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Menurut beliau, tindakan pihak berkenan adalah tidak wajar dan cuba mengeruhkan hubungan antara parti dalam PR.

"Kita juga kesal ada media yang mengambil bulat-bulat gambar itu dan diletakkan dalam portal mereka tanpa menyelidik kesahihan gambar berkenaan.

"Apa yang pasti, kita mahu media berkenaan dedahkan sumber gambar itu walaupun mereka sudah memohon maaf. Jika dalam tempoh 24 jam tiada sebarang maklum balas, kita akan lapor polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu sidang media, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Gopeng yang juga Adun Sungai Rapat, Radzi Zainon.‎

Boon Chye yang juga Ketua PKR Cabang Gopeng berkata, pihaknya turut akan memantau mana-mana blog atau laman sosial yang menggunakan gambar berkenaan untuk tujuan melaga-lagakan parti itu sebelum tindakan lanjut diambil.

Semalam, sebuah portal berita memuat naik gambar berkenaan yang diambil di hadapan Pejabat Agung Pas Pusat, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

Berikutan gambar berkenaan telah diubahsuai beberapa pemimpin Pas mendesak agar portal berkenaan memohon maaf.‎ ‎