• Wan Bukhari Wan Mohamad Wan Bukhari Wan Mohamad
1 / 2
KUALA TERENGGANU - PKR Terengganu tetap mengharapkan Muktamar Tahunan Pas yang akan berlangsung Jun depan, berjalan dengan baik.

Setiausahanya, Wan Bukhari Wan Mohamad berkata, walaupun timbul beberapa isu memperlihatkan PKR dan Pas di peringkat pusat bercanggah pendapat sebelum ini, beliau memberitahu PR negeri tiada masalah, malah mengharapkan krisis dalaman Pas diselesaikan dengan baik sempena muktamar parti itu yang akan berlangsung dalam tempoh tiga bulan lagi.

Menurutnya, perjalanan muktamar yang berjalan dengan baik bukan sahaja mengukuhkan perpaduan dalaman Pas tetapi juga kepada PR umumnya.

“Saya harap muktamar Pas berjalan dengan baik dan mereka juga dapat selesaikan krisis dalaman yang berlaku supaya berpadu. Kalau rumah tangga ‘ok’ hubungan dengan pakatan juga akan bertambah baik,” katanya.

Wan Bukhari berkata, sebagai mengulas mengenai kenyataan beberapa pihak sebelum ini yang menjangkakan Muktamar Tahunan Pas kali ini akan bertambah panas berikutan isu yang timbul sejak belakangan ini, memperlihatkan adanya sikap membelakangi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Hubungan Pas dan PKR juga dilihat tidak begitu memuaskan apabila segelintir ahli Pas yang mengetepikan Abdul Hadi itu juga dikatakan patuh kepada pemimpin lain iaitu ketua pembangkang, yang juga Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Beliau berkata, jika perjalanan muktamar itu lancar dan Pas mampu menyelesaikan masalah dalaman dengan baik, beliau percaya isu ahli Pas ‘wala'’ kepada Anwar tidak akan timbul lagi selepas ini.

“Masing-masing ada masalah dalaman dan saya harap lepas pemilihan nanti semua masalah itu selesai dan kita mampu bekerja untuk pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Mengulas lanjut, Wan Bukhari menjelaskan PKR Terengganu tiada masalah dengan Pas peringkat negeri sambil menyifatkan kerjasama politik antara kedua-duanya mantap dan bagus, apatah lagi dalam usaha PR menawan Wisma Darul Iman hampir menjadi kenyataan kerana hanya perlu mengejar BN dengan dua kerusi sahaja.