KUALA LUMPUR - Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kelana Jaya, Mohd Saifullah Mohd Zulkifli, 29, ditahan pihak polis di Masjid Jamek di sini berhubung perhimpunan #kitalawan di pekarangan Menara Berkembar Petronas (KLCC), petang tadi.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fazli mengesahkan perkara tersebut melalui aplikasi Whatsapp kepada Sinar Online malam ini.


Beliau memaklumkan, pemimpin AMK itu kini ditahan dan dibawa ke Balai Polis Jinjang.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad turut mengesahkan penangkapan itu.

"Dia ditahan dan dibawa ke balai polis Jinjang untuk membantu siasatan.

"Saifullah akan disiasat mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan kerana menyertai perhimpuman yang tidak sah di sisi undang-undang serta Akta Perhimpunan Aman 2012," katanya.