• Lebih 250 peserta kumpul di Pejabat Pas - Foto Sinar Harian
1 / 1
KUALA LUMPUR - Laungan reformasi lebih 250 peserta Himpunan #KitaLawan mula bergema tepat jam 3 petang hari ini.

Seawal jam 2 petang, peserta yang terdiri daripada sayap Pemuda Pas dan Angkatan Muda Keadilan mulai berkumpul di pekarangan Pejabat Agung Pas di Jalan Raja Laut untuk bersama menghangatkan lagi suasana himpunan ini.

Hampir kesemua peserta himpunan hari ini mengenakan baju-T hitam yang ditempah khas untuk himpunan yang akan diadakan pada hari ini. Rata-rata peserta kelihatan membawa sepanduk dan kain rentang.

Menurut Ketua Pemuda Pas, Suhaizan Kaiat, himpunan ini merupakan lambang solidariti dan kebersamaan kita dalam menuntut keadilan dan kebebasan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipenjarakan atas kesalahan meliwat pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, tujuh tahun lalu.

"Kita anak muda tidak boleh menerima apa yang dilakukan terhadap Datuk Seri (Anwar).

"Kita di sini untuk bersama-sama menentang kezaliman yang dilakukan. Kita mahu keadilan di negara kita ini ditegakkan!" katanya ketika berucap di hadapan Pejabat Agung Pas hari ini.


Himpunan di lokasi berkenaan diketuai Suhaizan, Naib Presiden PKR, Chua Tian Chang dan Shamsul Iskandar Mohd Akin berarak menuju ke hadapan kompleks beli-belah Sogo pada jam 3.35 petang.

Dalam perkembangan lain, laungan himpunan #Kitalawan dilaporkan bergema di beberapa lokasi di sekitar pusat bandar.

Antara himpunan yang mengambil tempat pada hari ini termasuk di Pasar Seni dan Masjid Jamek.

Rata-rata peserta himpunan di semua lokasi mengadakan 'flashmob' #Kitalawan seawal jam 2 petang sebelum berarak di lokasi akhir himpunan; kompleks beli-belah Sogo.