• Suhaizan Suhaizan
1 / 1
SHAH ALAM –  Dakwaan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz mengenai kewujudan kelompok ‘barua’ dalam Pas tidak membantu dalam penyatuan ummah, sebaliknya ia dilihat membantutkan langkah Pas dalam arena politik tanah air.

Ketua Pemuda Pas, Suhaizan Kaiat berkata, kenyataan tersebut seperti yang dilaporkan Sinar Harian kelmarin dilihat seolah-olah melebarkan lagi jurang antara ahli dalam parti tersebut.

“Adalah lebih baik untuk membawa Pas ini ke hadapan. Benda ini (isu yang dinyatakan) terlalu kecil untuk dibangkitkan,” katanya ketika dihubungi Sinar Online.

Nik Abduh dalam kenyataannya mendakwa terdapat golongan yang dilabelkan sebagai ‘barua’ dalam Pas yang lebih wala’ (ketaatan kepada pimpinan) PR lebih tinggi daripada wala’ terhadap perjuangan sebenar Pas.

Beliau berkata, terdapat kelompok yang cuba dikesan cuba memisahkan pemikiran Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan bapanya, bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

[ARTIKEL BERKAITAN: Nik Abduh: Telahan Nik Aziz jadi kenyataan]

Selain itu, Nik Abduh turut mendakwa berlaku juga usaha memecah-belahkan parti agar menyimpang daripada perjuangan sebenar.

Dalam pada itu, Suhaizan turut menyifatkan tindakan melabel yang dilakukan Nik Abduh sesuatu yang tidak patut dilakukan oleh seorang yang berjawatan dalam parti tersebut.

“Tidak ada konsep melabel (memberi gelaran) terhadap mana-mana golongan atau ahli dalam Pas. Kita mahu satukan semua orang dibawah parti ini.