•  Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi
1 / 1
KAJANG - Presiden Pasma, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi menyifatkan cubaan mahu menggulingkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bukanlah budaya yang diamalkan Pas.

“Ini bukan budaya dalam Pas. Isu menggulingkan pimpinan tidak pernah berlaku. Apa yang disebutkan (guling Abdul Hadi) sekarang adalah perkara luar biasa.

“Pasma sendiri tidak terlibat dan tidak campur tangan di dalam pergolakan yang berlaku dalam Pas,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau mengulas mengenai wujudnya pihak yang mahu menggulingkan Abdul Hadi selain dakwaan wujud dua kumpulan dalam Pas.

“Pasma menyokong gabungan PR dan tidak menyokong individu dalam sesuatu parti politik seperti DAP, PKR dan Pas. Apa jua masalah dalaman, ia adalah urusan parti masing-masing.

“Harus diingat, Pasma bukan parti politik. Ia hanya sebuah badan bukan kerajaan yang mahu melihat gabungan PR tidak lemah dan sentiasa kuat dalam memastikan sentiasa diterima masyarakat. Saya fikir kenyataan pergolakan dalam Pas tidak dituju kepada Pasma,” katanya.

Mengenai dakwaan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz bahawa terdapat 'barua' dalam parti itu, beliau berkata: “Isu label-melabel ini biarlah urusan mereka.

"Saya tidak mahu campur. Dalam Islam sendiri, ia bukan amalan yang baik untuk melabel antara satu sama lain menggunakan gelaran yang buruk. Terpulang kepada mereka.”