SHAH ALAM - Permintaan untuk membebaskan bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui Deklarasi Rakyat hanya akan memecahbelahkan gerakan tersebut, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, sebaliknya rakyat yang menyokong Deklarasi Rakyat perlu fokus kepada tujuan utamanya iaitu mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berundur.

“Kalau kita nak buat keputusan tentang Anwar, itu ini, hasilnya kita akan pecah belah diri kita. Selagi ada Najib di situ, jangan fikir kita boleh buat apa-apa perubahan. 

“Sebab itu kena bersatu untuk satu tujuan iaitu singkirkan Najib,” katanya dalam  Forum Laporan PAC 1MDB : Najib - Bersubahat atau Tidak Bersalah? anjuran Pakatan Harapan, di sini, kelmarin.

Beliau berkata demikian menjawab soalan penonton sama ada Deklarasi Rakyat akan turut menuntut pembebasan Anwar yang kini dihukum penjara. 

Menurut Mahathir, Deklarasi Rakyat hanya akan mendapat sokongan ramai jika mereka mempunyai matlamat yang boleh diterima semua orang.

“Kalau bangkit soal ‘saya nak ini, saya nak itu’, minta maaf, kita akan gagal,” katanya.
Sementara itu menjawab satu lagi soalan mengenai pemilihan Perdana Menteri jika Najib berjaya disingkirkan, Mahathir berkata, beliau yakin orang Umno tidak akan memilih pengganti yang sama seperti Najib.

“Memang betul kalau Najib jatuh, besar kemungkinan parti terbesar dalam Parlimen akan pilih satu orang jadi perdana menteri. Mungkin terdiri dari Umno. 

“Saya fikir mereka dah lihat apa jadi pada Najib dan bodohlah kalau mereka (masih) pilih orang macam Najib untuk jadi perdana menteri,” katanya.