'Mahathir, pulanglah ke pangkal jalan'
PUNCAK ALAM - 'Jika tak mahu minta maaf, Tun Dr Mahathir Mohamad
dinasihatkan ‘pulang ke pangkal jalan’ kerana memfitnah Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Razak berhubung skandal derma RM2.6 bilion,' kata
Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar.
Menurutnya, pengakuan kerajaan Arab Saudi melalui Menteri Luarnya, Adel
Al-Jubeir menjawab segala fitnah yang dibuat terhadap Najib.
“Saya minta Mahathir dan ahli Umno yang keliru pulanglah ke pangkal
jalan. Pengakuan Menteri Luar Arab Saudi baru-baru ini, membuktikan
Perdana Menteri difitnah dengan dahsyat.
“Mengenali Tun (Mahathir), saya tak rasa dia akan minta maaf. Cuma saya
minta, pulanglah ke pangkal jalan,” katanya selepas merasmikan Majlis
Perasmian Penutup Wacana Saranan Ibu Bapa dan Komuniti di UiTM Puncak
Alam, semalam.
Beliau berkata, kebenaran tersebut juga perlu diterima rakyat dengan
hati terbuka dan menyeru agar semua pihak bersatu bersama perdana
menteri memajukan negara.
“Tak perlu diungkit lagi. Dah jelas tak ada unsur rasuah kerana ia diperakui wang diberi berbentuk derma dan sumbangan.
“Pemimpin dan rakyat perlu terus bersatu memperkukuhkan parti dan
jangan terpengaruh dengan usaha pihak yang sentiasa berhasrat
menjatuhkan Umno,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang menyifatkan segala
tohmahan dilemparkan kepada Perdana Menteri selesai, termasuk isu
1Malaysia Developement Berhad (1MDB) yang disahkan Jawatan Kuasa
Kira-kira Wang Negara (PAC) tiada unsur jenayah.
Dalam perkembangan lain, Noh berkata, debat antara Presiden dan
Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy dan Ahli Parlimen
DAP, Tony Pua perlu diteruskan.
“Saya harap debat antara Tony Pua dan Arul Kanda menjadi kenyataan dan
jangan ada alasan lagi. Beri mereka masa dua jam biar semua yang
terpendam dapat dirungkaikan.
“Dua-dua jangan lari, saya cabar kedua-duanya untuk berdebat dan
disiarkan secara langsung, tapi, bukan di hadapan orang ramai,” katanya.
1 orang berkata:
Apa pulak Noh ni bersungguh sangat mencabar orang berdebat, seolah2 dia yg nak berdebat. Tak payah cabarlah, dia org memang bersedia utk berdebat pun. Jgn ada pihak yg menghalang sudahlah.
Post a Comment