KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan anggota keluarganya bagi kebenaran semakan kehakiman untuk membatalkan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyennya bagi pengampunan diraja atas sabitan meliwat.

Hakim Datuk Nor Bee Ariffin yang membuat keputusan itu di dalam kamar, juga menolak permohonan Anwar untuk merujuk persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan berhubung proses yang diambil dalam keputusan Lembaga Pengampunan.

Peguam Anwar, N Surendran memberitahu pemberita hakim membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan awal yang dikemukakan oleh ketiga-tiga responden, iaitu Lembaga Pengampunan, Peguam Negara dan kerajaan Malaysia terhadap permohonan bagi kebenaran semakan kehakiman itu.

Pada 24 Jun tahun lalu, bekas ketua pembangkang itu, isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan dua anak perempuan mereka, Nurul Izzah serta Nurul Nuha memfailkan permohonan dengan menamakan Lembaga Pengampunan, Peguam Negara dan kerajaan Malaysia sebagai responden.

Dalam permohonan itu, mereka memohon perintah untuk membatalkan keputusan Lembaga Pengampunan pada 16 Mac 2015, dan mendesaknya menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya memberi pengampunan dan membebaskan Anwar, 69.

Mereka juga memohon perintah mandamus bagi mendesak Lembaga Pengampunan mengadakan semula mesyuarat dan menimbangkan semua perkara berkaitan petisyen bagi pengampunan diraja yang dikemukakan oleh anggota keluarga Anwar dan memberi nasihat yang bersesuaian kepada Yang di-Pertuan Agong.

Anwar, dalam afidavit untuk menyokong permohonan itu, mendakwa bahawa keputusan oleh Lembaga Pengampunan dicapai secara melanggar peraturan keadilan asasi dan oleh itu tidak sah.

Anwar mendakwa bahawa keputusan Lembaga itu tidak pernah disampaikan secara bertulis kepadanya atau anggota keluarganya yang mengemukakan petisyen tersebut.

Beliau mendakwa bahawa keputusan itu juga tercemar dan mempunyai kecacatan kerana Peguam Negara ketika itu adalah pihak yang berkepentingan yang menaruh perasaan kebencian yang berlarutan terhadapnya.

Anwar berkata, Peguam Negara berbincang pada mesyuarat dengan lembaga pada 16 Mac tahun lalu dan ini disahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri dalam jawapan bertulis pada persidangan Dewan Rakyat.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh selepas Mahkamah Persekutuan pada 10 Feb 2015, mengekalkan sabitan dan hukuman kerana meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, pada 2008. - Bernama