Keganasan rumah tangga meningkat setiap bulan
KUALA LUMPUR - Kes keganasan rumah tangga yang dirujuk ke Jabatan
Kecemasan dan Trauma Hospital Kuala Lumpur meningkat setiap bulan iaitu
sebanyak 30 peratus atau kira-kira 150 kes.
Ketua jabatan itu Prof Datuk Seri Dr Abu Hassan Asaari Abdullah berkata
kes-kes berkenaan dirujuk ke pusat khidmat bersepadu jabatan itu bagi
tujuan pemeriksaan dan rawatan.
"Setiap hari ada kes. Jika dibandingkan dahulu hanya ada 10 hingga 20
kes sahaja. Kebanyakan kes yang dilaporkan adalah kes rogol, penderaan
terhadap kanak-kanak, cabul dan liwat.
"Mangsa akan dibawa ke pusat khidmat bersepadu untuk rawatan lanjut," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata antara punca yang menyebabkan kes berkenaan meningkat
adalah kerana masalah ekonomi dalam institusi keluarga, tekanan
psikologi yang dialami pasangan suami isteri serta mekanisme menjalankan
tanggungjawab dalam keluarga seperti penjagaan anak kecil.
Dr Abu Hassan berkata masalah pengaruh alkohol dan dadah juga menjadi
faktor utama menyebabkan wanita dan kanak-kanak menjadi mangsa
keganasaan dan penderaan.
"Seperti kes rogol, antara faktor menyebabkan kes itu berlaku adalah
sikap lelaki terhadap wanita; pengaruh pornografi, alkohol dan dadah,
pergaulan bebas dan tanpa batasan, keruntuhan akhlak serta kurang
pegangan agama," katanya.
Beliau berkata pusat khidmat bersepadu yang diwujudkan pada 1994 di
bawah jabatan itu berperanan untuk memberi rawatan dan khidmat psikologi
kepada mangsa dengan kaedah rawatan yang holistik.
"Kita amat menjaga kepentingan mangsa dari segi psikologi dan juga
maruah pesakit dan tidak mendedahkan kepada umum lokasi rawatan
dijalankan di jabatan itu bagi melindungi pesakit," katanya.
Menurutnya, pusat berkenaan turut menyediakan kaedah rawatan yang
holistik dan memberikan kerjasama dengan pelbagai pihak antaranya
Jabatan Kebajikan Masyarakat, pihak polis serta unit forensik. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment