IPOH - Pas Perak menyifatkan tindakan memasukkan karikatur menghina sambutan Aidilfitri ke Facebook Pengerusi DAP Negeri, Nga Kor Ming sebagai tidak menghormati sensitiviti umat Islam.

Pesuruhjayanya, Razman Zakaria berkata, Ahli Parlimen Taiping tersebut perlu lebih prihatin dan tidak mengganggu gugat keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.

“Beliau perlu lebih peka dengan budaya masyarakat di negara ini yang terkenal dengan pelbagai budaya dan perayaan.

“Jangan bermain politik sehinggakan hilang budaya menghormati perayaan sesuatu kaum dan agama itu. Perkara begini amat mengecewakan,” katanya.

Ditanya tindakan polis membuka kertas siasatan berhubung perkara itu mengikut Akta Hasutan 1948, beliau berkata, pasukan keselamatan bebas membuat siasatan terhadap mana-mana individu yang disyaki melakukan perkara di luar jangka.

Katanya, Kor Ming juga harus bertanggungjawab dengan tindakan yang telah dilakukan itu.

“Bagi kita, biarlah polis sendiri yang menyelesaikan perkara-perkara seumpama ini,” katanya.