SEPANG - “Siasatlah dulu, kenapa takut sangat nak siasat saya berdepan. Tanya saya apa salah saya bukan terus gantung macam itu,” luah bekas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengenai keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno menggantung keahliannya tanpa siasatan, 24 Jun lalu.

Katanya, keputusan MT Umno itu dilakukan ketika beliau sedang mengerjakan ibadah umrah.


“Dalam bulan yang baik kita beramal saya pergi umrah, tak langsung semasa saya hadir (mesyuarat) MT... tak ada tanya saya.


“Bila saya pergi umrah gantung saya. Tapi tak apa lah mungkin ini antara petunjuk ALLAH apabila saya tunaikan ibadah umrah dan berdoa di Masjid Nabawi. Ya ALLAH saya umat yang lemah dan tak sempurna, tunjukanlah jalan-jalan yang baik untuk saya membantu agama dan negara, itu sahaja,” katanya ketika ditemui di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.


Dalam mesyuarat MT Umno 24 Jun lalu, Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bekas Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dipecat daripada parti manakala Mohd Shafie digantung sehingga siasatan selesai.


Keputusan ke atas tiga individu itu dibuat MT  Umno selepas kesemua mereka disabit kesalahan melanggar disiplin parti.


Sementara itu, Mohd Sahfie turut mengingatkan pimpinan Umno supaya tidak memandang rendah usahanya selama ini memperjuangkan dan mengukuhkan pengaruh Umno di Sabah.


“Jangan hina saya dengan melemparkan tuduhan pengunduran saya daripada Umno tidak memberi sebarang kesan kepada parti.


“Kita tunggu keadaan, saya dulu antara pengasasnya (Umno Sabah) bukanlah besar sangat sumbangan saya tapi adalah sikit sumbangan saya di peringkat negeri Sabah dalam membesarkan dan membawakan parti Umno.


"Ada yang menyatakan tidak ada kesannya apabila saya keluar dari parti, kita tunggu lah ada kesan atau tidak, kita tunggu ALLAH SWT,” katanya.


Ahli Parlimen Semporna itu juga mendakwa beliau masih mempunyai sokongan teguh daripada akar umbi Umno Sabah.