Lempar Babi Di Majid Kerja Siapa Sebenarnya?
Laman Facebook dakwa DAP di belakang kejadian daging babi di masjid
Sebuah laman Facebook 'Boikot Barangan Cina DAP' seolah-olah mendakwa ahli parlimen DAP, Steven Sim yang terlibat melontar sekeping daging dipercayai daging babi ke pintu masuk Masjid Cheruk Tok Kun Atas, Ahad lalu.
Posting yang bertajuk 'Cina Lontar Daging Babi Depan Pintu Masjid' itu seolah-olah mendakwa Sim terlibat dengan kejadian itu.
Ekoran itu, ahli parlimen penggal pertama itu membuat laporan di ibu pejabat polis Seberang Prai Tengah bersama anggota parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari dan exco kerajaan negeri Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin.
"Kejadian terkini dengan laman Facebook ini satu fitnah dan provokasi," kata Sim dalam kenyataan bersamanya dengan Zairil dan Dr Afif.
Ketiga mereka yang merupakan wakil rakyat untuk penggal pertama ini melihat pelbagai kejadian kontroversi yang disifatkan mereka sebagai usaha untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat.
Mereka mendesak polis menyekat kejadian sebegitu daripada berulang, atau Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar bertanggungjawab, atau meletakkan jawatan sahaja.
"Semua ini mahu menimbulkan kekacauan untuk menjatuhkan kerajaan yang ada. Jelas musuh kerajaan negeri tidak mahu melihat kemajuan di bawah pentadbiran Pakatan, yang selama ini cuba menjaga kebajikan rakyat.
"Di bawah Pakatan, peruntukan untuk hal ehwal Islam dan pembangunan meningkat. Oleh kerana mereka sudah kehabisan modal, mereka bertindak dan berkonspirasi untuk menimbulkan kekacauan," kata mereka.
Mereka berkata, kejadian ini bertujuan untuk menimbulkan permusuhan antara kaum dan agama di Pulau Pinang. Tetapi mereka yakin rakyat lebih tahu.
Sejak pertengahan Januari lalu, dua perhimpunan haram dianjurkan oleh sekumpulan orang Melayu bagi membantah Adun Machang Bubuk, Lee Khai Loon yang menganjurkan program "Saya suka kangkung" yang didakwa cuba menghina Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Sejak itu, setiap minggu akan ada saja kejadian kontroversi yang berlaku di Pulau Pinang.
Pada 26 Januari, lima gereja menerima kain rentang misteri yang bertulis "Allah maha besar, Jesus anak Allah" yang digantung di perkarangan gereja mereka.
Keesokan harinya, gereja Catholic Assumption dilempar dengan bom api.
Para MP juga mendakwa penyembelihan ayam dan ganjaran kepada yang sanggup menampar Teresa Kok oleh sekumpulan NGO Melayu di Kuala Lumpur ekoran klip video "Onederful", dan blog "Negara Pakatan Rakyat" yang mendakwa kerajaan Pulau Pinang mempertimbangkan mengharamkan khutbah Jumaat sebagai contoh lain.
"Jika kejadian sebegini berterusan, ketegangan akan meningkat. Polis tidak lagi boleh memandang ringan kes ini.
"Kami menuntut Ketua Polis Negara memandang serius perkara ini dan menghentikan mereka daripada menganggu ketenteraman awam. Jika berterusan, KPN sendiri harus bertanggungjawab dan meletakkan jawatan," kata mereka.
Timbalan KPN, Datuk Mohd Bakri Zinin yang berada di Pulau Pinang hari ini, berkata polis masih menyiasat kejadian berkaitan dengan masjid dan gereja itu.
Katanya, polis akan berbincang dengan pihak pengurusan rumah ibadat untuk menyekat kejadian sebegitu dari berulang di samping meminta orang ramai tampil untuk memberikan maklumat.
"Kami sedang berusaha sebaik mungkin untuk memastikan ia tidak berulang. Kami memberikan amaran jangan mainkan sentimen perkauman dan agama ini," katanya. -TMI
ULASAN GB
GB bersetuju dengan ulasan Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar sebelum ini yang menyatakan bahawa beliau tidak menolak kemungkinan perbuatan itu sengaja dicetuskan golongan selain daripada bukan Islam untuk menimbulkan ketegangan agama.
Katanya, tidak logik jika orang bukan Islam yang melakukannya memandangkan kes terdahulu juga menunjukkan babi dilapik dan dibungkus terlebih dahulu sebelum diletakkan di masjid seolah-olah ia haram dipegang golongan berkenaan.
“Saya dari dulu asyik berfikir, kenapa orang kafir perlu balut dulu masuk dalam plastik baru lempar.
“Kenapa mereka perlu buat begitu, mereka (bukan Islam) boleh pegang dan makan daging itu,” katanya.
Ditanya adakah beliau menuduh perkara itu dilakukan oleh orang Islam sendiri, beliau bagaimanapun menyerahkan kepada polis membuat siasatan segera dan menghalang sentimen provokasi agama yang sempit ini berulang lagi.
“Saya tak kata begitu, kena tanya polis mereka buat siasatan.
“Tetapi apa yang memeningkan saya kenapa orang bukan Islam nak buat begitu, lebih baik mereka ambil buat (sup herba) Bah Kut Teh,” katanya.
Hukum kebenaran dan keadilan akan tetap berjalan. Si bedebah itu akan tetap terdedah. Dia ingat Tuhan itu bodoh dan Tuhan itu buta.
Jelas bukan?
Apa yang rakyat harapkan ialah siasatan polis yang telus dan tidak gentar untuk mendedahkan kebenaran. Integriti dan kredibiliti polis perlu dipertahankan dengan membawa pesalah ke muka pengadilan without fear or favour.
0 orang berkata:
Post a Comment