Saturday, February 22, 2014
Hukuman ke atas Karpal bukti ikrar Najib janji kosong – LFL
Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty (LFL), Eric Paulsen berkata, keputusan itu mengesahkan ikrar transformasi kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hanya janji kosong.
“Beberapa langkah demokratik Najib akhirnya menjadi ‘penjenamaan semula’ dan palsu.
Keputusan ini mengesahkannya, kerana Najib bukan sahaja mungkir janji untuk menghapuskan Akta Hasutan, malah menambahkan salah guna akta itu kepada pemimpin Pakatan Rakyat dan aktivis, antaranya Tian Chua, Haris Ibrahim dan Hishamuddin Rais,” katanya dalam satu kenyataan.
“Tiada sebab ia boleh dianggap menghasut. Benar, kebebasan bersuara bukanlah mutlak dan ada had – seperti membangkitkan keganasan dan kebencian, namun aras untuk kebebasan bersuara mesti tinggi,” katanya lagi.
Pagi tadi, Karpal didapati bersalah mengikut Akta Hasutan 1948, berikutan kenyataannya berhubung rampasan kuasa kerajaan Pakatan Rakyat pada 2008.
Beliau yang juga peguam terkenal pada 6 Februari 2009 menyatakan, keputusan Sultan Perak menggugurkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar boleh dipertikai di mahkamah.
Paulsen juga menyifatkan, akta ‘hasutan’ adalah amalan kuno dan tidak demokratik, malah kebanyakan negara moden tidak menggunakannya lagi dan menghapuskannya.
“Ia tiada tempat di negara Malaysia yang moden dan demokratik yang kita impikan,” katanya lagi.
Mengikut akta itu Karpal boleh dihukum penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah menetapkan 7 Mac ini untuk menentukan hukuman dan mitigasi bagi meringankan hukuman.
-Roketkini.com
0 orang berkata:
Post a Comment