•  Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
1 / 1
SHAH ALAM - Susulan pucuk pimpinan PKR menyatakan tidak dimaklumkan mengenai perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) berhubung industri air di negeri ini, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, ia adalah langkah untuk mengelak campur tangan parti dalam isu tersebut.

Abdul Khalid juga mendakwa, terdapat beberapa pimpinan PKR cuba untuk mempengaruhinya dalam menentukan harga aset air tersebut.


"Saya pernah menjadi pegawai bank pelaburan sekian lama... saya melihat prinsip penilaian itu sebelum menentukan harga (aset). Saya berpendirian dengan prinsip saya mengenai penilaian dan menetapkan harga pada RM9.65 bilion.


"Mereka ini mahu menetapkan harga dan mahu penilaian untuk memberikan justifikasi pada harga mereka," katanya yang dipetik dalam laporan akhbar The Star, hari ini.


Kelmarin, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Selangor akhirnya menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk penstrukturan semula industri air di negeri itu yang telah berlanjutan sejak 2008.

  
Bagaimanapun, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Penasihat Ekonomi Selangor pada hari sama mendakwa dirinya tidak diberitahu mengenai perjanjian tersebut oleh Abdul Khalid.

Menjelaskan perkara itu, Abdul Khalid berkata, kerahsiaan maklumat dalam perjanjian tersebut perlu bagi mengelakkan kesan kepada nilai saham berkaitan dengan aset-aset air.


"Saya juga mengambil berat mengenai kemungkinan penyebaran maklumat yang tidak benar dan urusan pihak dalaman. Ini adalah sebab-sebab mengapa pemimpin-pemimpin PKR tidak dimaklumkan lebih awal sebelum menandatangani perjanjian air antara kerajaan negeri Selangor dan kerajaan Persekutuan, " katanya.