• Najib Tun Razak  
  • Datuk Seri Najib Tun Razak
1 / 1
KUALA LUMPUR - Rakyat diingat untuk tidak lagi tertipu dengan janji manis pembangkang yang hanya berminat untuk ke Putrajaya bukan membela nasib rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pembangkang hanya pandai berjanji tetapi tidak untuk ditepati.


"Jangan tertipu banyak kali... Dah kene tipu 16 September, mereka tipu pula mengenai 40,000 Bangladesh pula. Rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menunjukkan hanya 12 orang dalam tempoh 10 tahun warga Bangladesh berjaya mendapat warganegara.


"Mereka kata ada lampu padam kita curi peti undi, rakyat tertipu lagi. Dia kata kalau kalah nak jadi pensyarah, tapi pergi bertanding di Kajang pula, " katanya ketika berucap pada perlancaran BR1M dan I-BR1M 2014, hari ini.


Dalam ucapannya itu, Najib turut menyifatkan yang Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai seorang yang hanya berminat untuk mengejar kuasa bukannya memikirkan kepentingan rakyat.


"Pembangkang buat manifesto yang sedap didengar tapi fokusnya hanya untuk ke Putrajaya, " katanya.


Perdana Menteri berkata, kerajaan sentiasa mencari idea dan pendekatan baru untuj merancakkan ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat.


"BN berbeza dengan pembangkang, mereka lancar Bersih satu, dua dan tiga. Tetapi sebagai kerajaan bertanggungjawab kita lancar BR1M satu dua dan tiga.


"Insya- ALLAH dengan izin ALLAH kita akan lancar BR1M empat dan lima," katanya.


Tambah beliau, pemberian BR1M ini bukan gula-gula pilihan raya tetapi untuk berkongsi kekayaan dengam mereka yang memerlukan.


Najib berkata, kerajaan akan menambah baik kaedah pemberian BR1M dari masa ke semasa.


Seramai 7 juta penerima BR1M tahun ini dengan peruntukan RM 4.5 bilion. Penerima BR1M boleh mengemaskini akaun mereka bermula semalam.


Menurut Najib, kerajaan mengenal pasti langkah terbaru itu lebih efektif dan memudahkan rakyat.


"Kalau kita serah tunai pada keseluruhannya, ambil masa hingga tiga bulan baru selesai. Ada benda orang tak boleh tunggu, masuk melalui akaun lebih efisyen. InsyaAllah dalam tempoh lima tahun akan datang BR1M akan dinaikkan kepada RM1200," katanya.