28 loji air Pahang catat bacaan rendah
KUANTAN - Sebanyak 28 daripada 80 loji rawatan air di Pahang mencatat
paras bacaan rendah akibat kemarau dan beberapa faktor lain.
Pegawai Perhubungan Awam Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip), Datuk
Jafar Abdullah berkata, loji berkenaan terletak di lapan daerah yang
mendapatkan sumber air dari anak Sungai Pahang dan Sungai Pahang.
Katanya loji terbabit terletak di daerah Lipis (7), Jerantut (5),
Temerloh (4), Maran (4), Pekan (3), Bentong (3) dan masing-masing satu
di Rompin dan Bera.
"Sekiranya musim kemarau berlarutan lebih lama, ia akan menyebabkan
loji-loji yang mencatatkan paras rendah ini terpaksa ditutup," katanya
kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata selain kemarau, faktor yang dikenal pasti menjadi punca
penyusutan bacaan air ialah aliran air sungai di muka sauk yang tersekat
oleh longgokan pasir hingga menyebabkan air mengalir ke arah lain.
Sehubungan itu menurut Jafar, kerja membuang longgokan pasir di muka
sauk loji sedang dilakukan, selain membina benteng pasir di tebing
sungai berhampiran muka sauk, bagi melancarkan semula aliran air ke
dalam loji.
"Air di 28 buah loji terbabit bagaimanapun masih mampu untuk menampung bekalan kepada pengguna di kawasan itu," katanya.
Mengikut rekod, Pahang membekalkan air kepada hampir dua juta pengguna
dengan kadar penggunaan lebih 34 juta meter padu sebulan. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment