KUALA TERENGGANU – BN dijangka berdepan kekalahan lebih besar dengan keputusan meletakkan calon MCA untuk melawan calon PKR di Dun Kajang pada PRK Dun Kajang pada 23 Mac ini.
Pengerusi Lajnah Antarabangsa Pas Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi mendakwa, berdasarkan perkembangan politik semasa, lebih-lebih lagi jumlah kaum Melayu mendahului kaum lain di kawasan tersebut.

“Dengan meletakkan calon MCA, kekalahan lebih besar akan berlaku di pihak BN,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak meramalkan sebarang kemenangan di pihak BN jika parti itu mahu mengubah keputusan dengan meletakkan calon Umno di kerusi tersebut, tetapi menegaskan bahawa MCA tidak banyak membantu kemenangan BN.

Pada masa sama, beliau turut menganggap calon adalah isu parti masing-masing dan menyerahkan perkara tersebut kepada BN untuk menentukan pilihan yang tepat sebelum penamaan calon 11 Mac ini.

BN sebelum ini mengumumkan Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun sebagai calon yang akan bertanding menentang calon PKR iaitu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kajang.

Dalam kenyataan sebelum ini, MCA turut mengingatkan pelbagai pihak agar tidak memandang rendah keupayaan parti itu merampas semula kerusi Dun Kajang.

Dalam perkembangan sama, Syed Azman yang juga Adun Batu Burok menjelaskan bahawa Pas akan memberi kerjasama penuh kepada mana-mana calon yang diketengahkan PKR di kerusi terbabit.

Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap calon PKR untuk terus mempertahankan kerusi N25 Kajang di samping berharap PRK kali ini berjalan lancar.

“Kita juga berharap supaya tiada sebarang bentuk kekecohan berlaku sepanjang tempoh kempen pilihan raya berlangsung,” katanya.