• ZAID IBRAHIM
1 / 1
PETALING JAYA - Calon Bebas PRK Dun Kajang, Datuk Zaid Ibrahim hari ini menyangkal dakwaan bahawa beliau mengamalkan salah guna kuasa seperti mana yang didakwa oleh Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, semalam.

"Hari ini sukacita saya maklumkan bahawa kedua-dua syarikat ini tidak ada kena mengena dengan saya atau keluarga saya.

"Malah mereka bukan juga kawan saya. Mereka ini adalah orang bisnes yang datang meminta pertolongan kerana mereka fikir saya boleh menolong," ujarnya dalam satu sidang media di kediamannya, di sini, hari ini.

Bekas menteri undang-undang itu merujuk kepada dakwaan Pengarah Strategi PKR itu bahawa beliau pernah meminta bantuan Rafizi untuk menyalurkan beberapa projek kepada individu berkaitan dengannya.

"...mereka bukan juga kawan saya. Mereka ini adalah orang bisnes yang datang meminta pertolongan kerana mereka fikir saya boleh menolong.

"Amalan orang bisness meminta pertolongan atau sokongan daripada ahli politik adalah amalan biasa dalam sistem kita dan diamalkan oleh Umno, Pas, DAP dan lebih-lebih lagi PKR," ujar Zaid.

Malah menurut Zaid, jika beliau ingin melobi projek bagi pihak rakan-rakan atau ahli keluarganya, beliau tidak perlu merujuk kepada Rafizi yang disifatkan sebagai "budak Anwar yang tiada jawatan".

"Bagi saya mungkin Rafizi berfikir dia seorang yang bersih, tetapi dia lupa fakta di mana kalangan pengawai tertinggi dalam pejabat Menteri Besar (ahli PKR) sendiri yang terbabit sehingga tersingkir daripada jawatan.

"Jika saya memajukan dua e-mel kepada Rafizi, ia bukan bererti saya melobi. Ketika itu Rafizi hanya budak Anwar yang tiada jawatan. Jika saya hendak melobi untuk kepentingan saya, saya boleh terus berjumpa dengan MB atau Exco, bukan dengan budak pejabat," tegas Zaid.

Ulasnya lagi, beliau tidak menganggap perbuatannya itu menjejaskan kredibilitinya sebagai seorang ahli politik.

"Sebagai orang politik, bagi saya, meminta pertimbangan kerajaan bagi pihak orang ramai atau ahli perniagaan yang tidak saya kenali, tidak menjejaskan integriti saya. Saya hanya meminta pertimbangan, bukan memaksa kerajaan mengikut kehendak saya. Adakah itu pun Rafizi tidak tahu membezakannya?

"Oleh itu suka saya tegaskan bahawa saya langsung tidak terlibat dan mempunyai apa-apa kepentingan di dalam kedua-dua kes itu," katanya.

Semalam Rafizi mendakwa Zaid semasa dalam PKR telah menghantar e-mel dan mendatanginya, yang ketika itu sebagai Ketua Eksekutif Penasihat Ekonomi Selangor, supaya campur tangan dalam projek membabitkan Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB).

Sehubungan itu, Rafizi menggesa Zaid untuk mencermin dirinya dahulu sebelum menghentam parti lain berkaitan isu integriti.