Altantuya: Sebutan kes rayuan Khamis ini
PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan menetapkan Khamis ini bagi pengurusan
kes berhubung rayuan pihak pendakwa terhadap pembebasan dua anggota unit
tindakan khas polis daripada pertuduhan membunuh wanita Mongolia,
Altantuya Shaariibuu.
Timbalan Pendaftar Izuddin Mohamad menetapkan tarikh itu di dalam kamar
selepas bertemu Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup dan peguam J.Kuldeep
Kumar mewakili Cif Insp Azilah Hadri, yang turut menyebut kes itu bagi
pihak peguam Kamarul Hisham Kamaruddin dan Hasnal Rezua Merican yang
mewakili Koperal Sirul Azhar Umar.
Manoj memberitahu pemberita tarikh pendengaran bagi rayuan pihak pendakwa itu masih belum ditetapkan.
Mengenai isu lain, Kuldeep Kumar menyangkal laporan satu portal berita
bahawa Sirul Azhar telah menghilangkan diri selepas dibebaskan daripada
pertuduhan itu oleh Mahkamah Rayuan.
"Beliau masih ada di sini," katanya.
Azilah, 37, dan Sirul Azhar, 42, disabitkan dan dijatuhi hukuman mati
pada 2009 oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas didapati bersalah
membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja di Shah Alam antara 10 malam
19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006.
Kedua-dua mereka memfailkan rayuan terhadap keputusan itu dan pada 23
Ogos tahun lepas dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan yang membatalkan
sabitan mereka.
Mahkamah Rayuan dalam penghakiman 47 muka surat memutuskan keterangan
keadaan dikemukakan pihak pendakwa tidak mencukupi untuk mengekalkan
dapatan dua anggota polis itu bersalah.
Mahkamah menyatakan kesalahan mereka tidak dibuktikan secara kukuh, "dengan itu mahkamah terpaksa memberi faedah kesangsian".
Pihak pendakwa memfailkan petisyen rayuan pada 3 Januari tahun ini,
menyenaraikan enam alasan kenapa panel tiga anggota Hakim Rayuan
terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta untuk membenarkan dua
anggota polis itu terlepas hukuman mati.
Sementara itu, pihak pendakwa tidak merayu terhadap pembebasabekas
penganalisis politik Abdul Razak Baginda, 50, yang dituduh bersubahat
dengan Azilah dan Sirul Azhar.
Mahkamah Tinggi pada 31 Oktober, 2008, memutuskan pihak pendakw
a gagal
membuktikan kes prima facie terhadap Abdul Razak. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment